Monday 11 March 2013

Bidang seni dalam ISLAM



7.1 BIDANG SENI DALAM ISLAM
Antara bidang seni dalam Islam termasuklah:
  1. a)      Seni khat seperti tulisan Jawi/Arab pada kertas, kain, kayu, lukisan dan sebagainya.
  2. b)      Seni bina seperti masjid, kubu tentera, mihrab, mimbar, empangan dan lain-lain.
  3. c)      Seni suara seperti nasyid, qasidah, tilawah al-quran, berzanji, dan sebagainya.
  4. d)     Seni muzik seperti lagu perang, menyambut kelahiran, menyambut hari raya, hari perkahwinan dengan menggunakan alat muzik ringan seperti kompang, rebana dan gendang.

 7.1.1 Seni khat
·         Maksud Seni Khat:
Seni khat ialah satu ilmu yang memperkenalkan bentuk-bentuk huruf tunggal, penyusunannya dan cara-cara merangkainya menjadi sebuah tulisan yang tersusun. Ianya merupakan seni bentuk tulisan Jawi/ Arab (calligraphy). Khat ialah perkataan Arab yang bermaksud garisan. Seni khat bermaksud garisan indah yang membentuk tulisan. Ia juga bermaksud tulisan-tulisan (kitabah) yang terikat dengan peraturan dan kaedah yang telah dikaji dan ditentukan oleh mereka yang terlibat dengan kemajuan seni.[1]

·         Sejarah Ringkas Seni Khat :
Khat adalah merupakan salah satu kesenian yang sangat halus dan indah. Ianya lahir dan berkembang dalam penulisan arab dan menjadi sebahagian daripada peradaban islam. Setelah kehadiran islam, penulisan arab semakian giat berkembang. Seni Khat telah menjadi salah satu ciri untuk memperindahkan tulisan menjelang abad pertama dan kedua Hijrah. Ketika zaman Rasulullah, Islam telah datang membawa perubahan yang besar terutama dalam bidang penulisan. Penulisan telah menjadi perantaraan terpenting dalam penetapan pencatatan, pengajaran dan penghebahan sehingga ia berkembang luas. Selepas hijrah nabi, seni khat telah menjadi manifestasi bagi suatu perubahan yang agung mengatasi perkembangannya selama tiga abad selepas itu iaitu pada zaman Khulafa Ar-Rasyiddin, zaman Khalifah Uthman bin Affan r.a dan seterusnya pada zaman pemerintahan Bani Umaiyyah. Ini kerana, pengumpulan dan penulisan Al-quran pada ketika itu giat dijalankan memandangkan ramai para penghafaz Al-quran yang syahid syahid di peperangan. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, beliau telah mengamanakan Zaid bin Thabit mengumpul dan menulis al-Quran.



Raja 7.1.1 Tulisan Khat Arab ( Kufi) di kubur Thabit bin Zaid pada 64H.

Pada zaman Bani Umaiyah, khat mula berkembang maju. Bentuk tulisan pada ketika itu lebih lembut mempunyai nilai estetika yang tinggi. Tanda titik dan baris mula diperkenalkan untuk memudahkan orang-orang ajam (selain bangsa Arab) mengenali tulisan Arab. Ziad (Dato’ Bandar Basrah) merupakan penulis wahyu Rasullullah meminta Abu Aswad al-Du'ali meletakkan tanda titik pada tahun 45 Hijrah, kemudian perletakan baris disempurnakan oleh al-Khalil bin Ahmad al-Farahidi. Disamping itu penggunaan kertas yang terkenal dengan nama ‘kertas Syami’ adalah salah satu langkah positif dalam usaha meningkatkan penulisan seni khat.[2]

  
 



Rajah 7.1.2 Tulisan Kufi yang hampir kepada nasakh yang diletakkan baris oleh al-Farahidi ditemui berusia sejak 135H.


Keindahan seni khat telah sampai ke kemuncaknya pada tahun 300 Hijrah di tangan ‘bapa’ khat Arab, iaitu Abu Ali Muhammad bin Muqlah, merupakan seorang penulis, penyair, khattat (penulis khat) dan seorang menteri di Baghdad (272-328H / 885-939M). Beliau mempelajari khat daripada al-Ahwal al-Muharral dan merupakan orang yang mula-mula mencipta kaedah menilai penulisan khat dengan menggunakan alif sebagai asas penentuan bentuk huruf, maka terhasillah daripadanya khat yang indah dengan kaedah yang mantap ini dan seterusnya berkembang di timur dan barat.

·         Jenis- jenis Tulisan Khat:
Terdapat empat jenis khat yang biasa kita ketahui dan lazim digunakan pada masa kini. Antaranya ialah :

·         Khat Nasakh:
Khat Nasakh berkembang daripada bentuk yang kaku kepada bentuk yang terkini sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. Khat ini telah sampaikan kepada orang Arab Hijaz dan digunakan di jabatan-jabatan kerajaan dalam urusan surat-menyurat pada zaman permulaan Islam. khat ini bertambah baik bentuknya apabila khattat Ali bin Muqlah (tahun 272-328H) telah mencipta kaedah penulisan Khat Nasakh. Pada masa kini, khat nasakh digunakan dalam alam pendidikan dan sering menjadi pilihan untuk dipertandingkan di peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat antarabangsa.

Contoh khat Nasakh:












·         Khat Riqah :
Sejenis khat yang direka cipta oleh orang Turki pada zaman kerajaan Uthmaniyah (850H). Tujuan khat ini dicipta ialah untuk menyeragamkan tulisan dalam semua urusan rasmi di kalangan kakitangan kerajaan. Menurut Kamus Bahasa Riqa’ah bermaksud cebisan kertas yang ditulis. Ciri tulisan ini ialah bentuk huruf yang kecil, lebih cepat dan mudah ditulis, jika dibandingkan dengan khat nasakh. Penggunaan khat ini dalam masyarakat kita tertumpu pada penulisan nota dan tulisan. Pada masa kini penggunaannya turut diperluaskan dalam urusan surat menyurat, urusan perniagaan, iklan dan promosi barangan serta dijadikan tajuk-tajuk besar dalam akhbar.

Contoh Khat Riqah:






·         Khat Thuluth:
Dinamakan Thuluth kerana huruf menegaknya ditulis dengan mata pen (qalam) yang ukuran lebarnya menyamai 1/3 (thuluth) mata pen. Ada pendapat mengatakan asalnya khat ini ditulis menebal dengan 24 helaian bulu kuda. Kemudian ketika jenis ini ditulis pula dengan menggunaka 2/3 menjadikan namanya Khat Thulutain ( 2/3), kemudian terakhir ditulis dengan menggunakan 1/3 daripada 24 helaian bulu kuda menjadikan namanya Thuluth(1/3) iaitu 8 helaian bulu kuda. Merupakan khat yang paling sukar dan sering digunakan pada hiasan dinding dan kubah-kubah masjid.

Contoh khat Thuluth:











Khat Thultuh yang digunakan sebagai hiasan didalam masjid :







·         Khat Kufi
Khat Kufi merupakan sejenis khat yang popular selain khat Nasakh. Nama Kufi diambil bersempena dengan nama sebuah bandar iaitu al-Kufah yang terletak di Mesopotamia. Secara umumnya, ciri-ciri yang ada pada bentuk huruf khat Kufi adalah bersegi, tegak, dan bergaris lurus. Bentuknya yang berunsur geometri iaitu lurus dan tegak amat sesuai diukir di mozek-mozek, jubin dan batu pada bangunan-bangunan seperti masjid dan seumpamanya. Dengan dihiasi pelbagai variasi khat, telah terbentuk sejenis khat yang tidak lagi ditulis dengan menggunakan pen khat, tetapi dilukis dengan pensil, menggunakan kertas graf, pembaris dan juga alat jangka lukis. Khat kufi juga boleh dihasilkan dengan menggunakan Microsoft excel.

Contoh khat kufi :












Unsur Khat Kufi pada hiasan dinding Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putarajaya :
















7.1.2. Seni Bina
Seni bina bermaksud satu bidang seni untuk mendirikan bangunan, reka bentuk yang direka oleh manusia.Ibn Khaldun dalam kitabnya berjudul al- Muqadimah menyatakan, Kedudukan rohani setiap bangsa, pandangan hidupnya, cita-citanya, telah dilahirkan pada bangunan-bangunan yang didirikannya. Setiap bangsa yang mendorong ke arah kemajuan pasti mempunyai kepintaran ilmu bangunan sebagai pembuktian betapa tingginya sesuatu tamadun.[3] Seni bina Islam yang terpenting dan harus diperhatikan adalah seni bina masjid kerana ia adalah merupakan bangunan pertama yang dibangunkan oleh Rasulullah s.a.w.

·         Sejarah Perkembangan Seni Bina Islam
Pada awalnya, sejarah seni bina Islam bermula dan berkembang secara berperingkat seiring dengan perkembangan seni pembinaan kota dan tradisi ilmu. Seni bina Islam bermula melalui pembinaan masjid (Masjid Nabi) di Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w. Di awal pembinaan masjid Nabawi, masjid ini tidak mempunyai menara mihrab atau kubah. Sebagaimana dalam hadis riwayat Al-Bukhari yang bermaksud-Nafi` r.a berkata:`bahawa Abdullah bin Umar r.a memberitahu kepadanya bahawa pada zaman  Rasululullah s.a.w,Masjid itu dibina daripada batu-batu yang dijemur,atapnya dari dahan kurma serta tiangnya dari batang kurma.[4] Pembinaan kubah masjid dikatakan bermula apabila ia dibina berdekatan dengan masjid yang didirikan oleh Khalifah Umar al-Khattab pada tahun 636 Masihi berhampiran dengan Masjid al-Aqsa di Jerusalem, Palestin. Secara umumnya kini, semua masjid di seluruh pelosok dunia mengandungi unsur seni bina seperti mihrab, menara mimbar, kubah dan seni kaligrafi (khat) Arab yang mengandungi ayat suci Al-quran  untuk melambangkan identiti masjid diperingkat zahir, dan secara tidak langsung melambangkan indentiti Islam dari sudut nilai kebatinannya.


·         Ciri-ciri utama seni bina Islam

-          di peringkat negara Islam dan seluruh pelosok dunia terdapat kesatuan dalam seni bina natijah dari kesatuan dalam Islam, melalui konsep tauhid
-          ciri-ciri kesatuan dalam seni bina Islam ialah pengaruh dari pusat- pusat ketamadunan Islam seperti Madinah dan Makkah (Semenanjung Arab), Baitui Muqaddis (Palestin), Baghdad (Iraq) dan Damsyik (Syria).
-          oleh sebab Islam itu merupakan suatu cara hidup (ad-Din) yang menyeluruh dan sempurna, maka ia menyerap dan berkembang secara menyeluruh ke dalam kehidupan manusia serta tidak disempitkan atas dasar ibadat semata-mata.
Secara umumnya, masjid bukan hanya tempat untuk ibadat sahaja, kertika era pemerintahan Rasulullah hinggalah kini ia turut digunakan sebagai tempat untuk perpustakaan, tempat musyawarah, politik serta sebagai tempat untuk ummat islam melakukan pelbagai masjlis ilmu. Jadi tidak hairanlanlah mengapa saiz ruangan bagi sebuah masjid kebanyakannya luas dan besar  kerana ia bertujuan agar boleh memuatkan ramai jemaah dan melakukan pelbagai aktiviti dan bukan untuk tujuan ibadah semata-mata.

 

  
Masjid Nabawi, Madinah yang unik dan tersergam indah.
  
Dalam seni bina Islam, seni bina masjid khususnya, antara ciri-ciri yang boleh dilihat ialah khususnya dari aspek binaan mimbar, arah kiblat, tempat kedudukan imam, ruang berkumpul,  anjung dan serambi, mihrab, tempat berwuduk, menara tempat muazzin melaungkan azan, kubah dan lain-lain lagi seperti taman-taman yang bercirikan islamik. Walaubagaimanapun, seni beni islam tidaklah mengutamakan aspek keindahan dan perhiasan sebagai matlamat, tetapi hasil gabungan seni kreativiti dan inovasi mat, artis, seniman dan arkitek Muslim, ia menjadi suatu seni yang bernilai tinggi yang disepadukan bersama penggunaan corak, warna dan eka bentuk yang dibuat berdasarkan ajaran al-Quran. Berikut adalah contoh gambar binaan masjid yang unik dan indah:
]
 

   
Rajah 7.1.2 Keunikan kubah Masjid Al-Hadhari, Terengganu




Rajah 7.1.3 Masjid di Kruszyniany, Poland
[ walaupun senibinanya kelihatan seperti seni bina barat namun kewujudan menara berkubah dikiri dan kanannya masih menampakkan dan mengekalkan ciri-ciri islamiknya].



 Rajah 7.1.4Masjid Manjali di Atyrau, Kazakhstan 


     
    Rajah 7.1.5Masjid Kul Sharrif di Kazan, Rusia


7.1.3. Seni Suara
Seni Suara bermaksud mengalunkan suara dengan merdu ( sekadar yang dianugerahkan oleh Allah). [5] Suara yang indah adalah anugerah dari Allah s.w.t. Islam tidak melarang ummatnya untuk menikmati keindahan seni suara selagimana ianya tidak bertentangan dengan syara serta disalurkan dengan cara yang betul.  Alunan suara biasanya berbentuk nyanyian. Setiap tempat dan bangsa mempunyai nyanyian atau lagu-lagu yang tersendiri. Dalam islam, Terdapat pelbagai cara untuk menyalurkan seni suara dengan cara yang lebih baik dan bermanfaat. Antaranya ialah:

·         Tilawah Al-quran :
Tilawah Al-quran adalah salah satu pembacaan al-quran dengan menggunakan taranum. Tarannum dari segi bahasa ialah lagu. Manakala dari segi istilah ialah mencantikkan dan mengelokkan suara mengikut proses nada, rentak dan irama tertentu. Ia membawa maksud ilmu dan kaedah memperelok atau memperindah bacaan al-Quran secara berlagu. Tujuan mengalunkan seni suara ini adalah untuk memberi kefahaman kepada para pembaca terhadap keindahan kalimah-kalimah Allah S.W.T serta mampu menghayati setiap kalimah yang dialunkan. Sesuai dengan gesaan Rasulullah s.a.w supaya membaca al-Quran dengan cara yang paling baik, seperti yang dapat difahami melalui satu hadis yang bermaksud: Hiasilah al-Quran dengan suaramu kerana suara yang baik akan menambah keelokan al-Quran.´ (Riwayat Hakim).


·         Qasidah :
Qasidah adalah merupakan syair Arab yang menjadi amalan sebagai penghibur hati orang Arab sejak dari zaman Rasulullah lagi. Ianya mengandungi pujian-pujian kepada Allah serta rasulnya serta berunsurkan nasihat dan biasanya dinyanyikan secara berkumpulan. Alunan qasidah yang indah boleh menimbulkan rasa rindu dan keharuan kepada Allah dan rasulnya. Ianya sering menjadi amalan orang Arab didalam majlis ilmu, perkahwinan dan juga majlis keramaian. Kini, Di Malaysia juga turut terdapat kumpulan-kumpulan qasidah yang telah ditubuhkan.

Contoh Qasidah:






·         Nasyid:
Nasyid adalah merupakan salah satu medan dakwah yang kontemporari. Rentak lagu yang pelbagai serta berunsurkan nasihat dan pengajaran. Nasyid dapat menjadi salah satu cara untuk menarik minat anak-anak muda untuk mengenali dan mendekati Islam. Nyanyian nasyid yang elok adalah yang meliputi aspek kerohanian dan ketuhanan dan bukannya berkisarkan perasaan semata-mata. Pada masa kini, pelbagai usaha yang telah dilakukan para kumpulan Nayid untuk mempelbagaikan persembahan nasyid mereka agar kelihatan menarik serta dapat menyampaikan mesej dan maklumat dengan cara lebih berhikmah dan indah.

7.1.4. Seni Muzik:
Islam tidak mengharamkan muzik secara total. Tetapi islam memberikan garis panduan agar muzik tidak disalahgunakan. Kita dibolehkan untuk berhibur tetapi bukan dengan cara yang berlebih-lebihan dan keterlaluan sehingga menyebabkan kelalaian. Terdapat beberapa ciri muzik yang dibenarkan oleh Islam iaitu :

       I.            Muzik yang lembut dan berdisiplin- jika kita lihat pada zaman sekarang, ramai dikalangan remaja kita terpengaruh dengan budaya barat dan suka kepada muzik yang berat dan berlebihan sehingga menyebabkan mereka lalai dan jauh dari agama. Muzik yang lembut dapat menimbulkan ketenangan dan kesan positif dalam diri kita dan begitulah sebaliknya kerana rentak sesebuah muzik dapat mempengaruhi emosi dan perasaan kita secara psikologinya.

    II.            Tidak menganggu, seperti pada waktu solat, terlalu kuat, pada larut malam dan mengganggu jiran tetangga. Sebagai contoh, berkaraoke sehingga muzik yang dipasang terlalu kuat dan mengganggu ketenteraman jiran-jiran tetangga. Perkara ini bukan sahaja boleh mengganggu ketenangan sesebuah rukun tetangga malah boleh menimbulkan kemarahan dan pergaduhan.

 III.            Diadakan di tempat yang baik seperti majlis perkahwinan, hari perayaan, dan bukannya ditempat yang bertentangan dengan Islam contohnya seperti kelab malam kaberet , bar dan sebagainya.

 IV.            Berpakaian menutup aurat, menjaga batas pergaulan diantara lelaki dan perempuan serta menjauhi perkara yang haram seperti minum arak, zina dan tarian yang dilarang.



                                  
8.1 RUMUSAN


    Secara ringkasnya, faslasafah kesenian dalam Islam adalah berpaksikan kepada tauhid. Hakikatnya, Islam tidak menjadikan keindahan dan hiasan dalam berseni itu sebagai satu matlamat tetapi Islam mengutamakan manfaat kesenian itu kepada agama dan masyarakat. Motif seni dalam islam haruslah menjurus kepada yang makruf , mengutamakan pembangunan akhlak serta mencegah kepada perkara mungkar.

Islam tidak menentang seni, selagimana seni tersebut tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip seni dalam Islam. Prinsip seni dalam Islam mestilah memartabatkan akhlak Islam, meningkatkan nilai kemanusiaan, dan berlandaskan wahuyu serta menghubungkan manusia dengan penciptanya. Fungsi seni dalam Islam adalah untuk menggiat akal manusia ke arah perkaitan alam rohani dan jasmani. Membina jiwa yang tenang dan khusyuk serta menambahkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Antara contoh-contoh bidang kesenian dalam Islam ialah, Seni khat, seni bina, seni suara seni muzik dan pelbagai lagi. Secara fitrahnya, manusia dan seni memang tidak dapat dipisahkan. Seni yang pelbagai mampu menjadi medan dakwah yang efektif jika para pencinta seni benar menghayati konsep kesenian yang sebenar mengikut Islam.

No comments:

Post a Comment