Wednesday 13 March 2013

Akibat pengabaian Syariah dalam kehidupan


3.1 AKIBAT MENGABAIKAN SYARIAH DALAM KEHIDUPAN.

Makna asal syariah ialah satu aliran air (al-Zubaidi, 1306H). Seperti air yang menjadi sumber kehidupan, syariah Islam juga bertindak sebagai sumber kehidupan sosial yang teratur dan harmoni (Muhammad Abdul Rauf, 1994). Akibat dari pengabaian syariah, pelbagai masalah telah timbul dan mennyebabkan Islam hanya sekadar Islam pada nama namun penghayatannya tidak ada. Antara masalah yang menjadi isu pada masa kini adalah seperti pergaulan bebas dan zina yang berleluasa, riba, isu murtad dan pelbagai lagi. Kesemua masalah ini boleh dibahagikan dalam beberapa kumpulan yang khusus mengikut ilmu syariah antaranya ialah tauhid, Ibadat, Munakahat, Muamalat, Jinayat , Akhlak dan Tasawuf. Antara isu semasa yang sering berlaku akibat dari pengabaian syariah pada masa kini ialah:

3.1.1. Isu berkaitan bab Munakahat :
Manusia akan menghadapi berbagai kepincangan sekiranya pergaulan lelaki dan wanita tidak diatur dan disusun mengikut peraturan tertentu. Tujuan perkahwinan ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya dapat mewujudkan suasana kasih sayang yang memperindahkan kehidupan. Tanpa penyusunan yang rapi di dalam pergaulan di antara lelaki dan wanita, kepincangan tidak dapat dielakkan. Kerana itu, perkahwinan disyariatkan.

Namun, lewat kini, kita sering mendengar pelbagai isu seperti kahwin lari, cerai, pengabaian nafkah dan sebagainya di dalam masyarakat kita. Persoalannya, mengapakah perkara-perkara seperti ini berlaku dalam kehidupan  masyarakat kita?? Islam mensyariatkan perkahwinan kepada ummatnya agar dapat mewujudkan ketenteraman dan ketenangan di antara lelaki dan perempuan. Menghubungkan silaturahim dan mewujudkan kasih sayang sesama insan. Namun apa yang kita lihat pada zaman sekarang adalah keruntuhan rumahtangga yang kian berleluasa.Ini adalah berpunca daripada pengabaian syariah dalam kehidupan. Sekiranya kita benar-benar menghayati konsep perkahwinan didalam Islam, pasti keluarga sakinah dapat dibina dan perceraian akan dapat dielakkan. Sebagai contoh, isu kahwin lari khususnya, dalam Islam terdapat peraturan-peraturan syariat yang  perlu dan wajib kita patuhi untuk melaksanakan sebuah perkahwinan.  Istilah ‘kahwin lari’ bukannya bermaksud berkahwin sambil berlari tetapi ia merujuk kepada pernikahan yang dijalani oleh pasangan dalam keadaan mereka melarikan diri daripada prosedur biasa Mahkamah Syariah. Biasanya mereka lari ke negara jiran untuk bernikah secara mudah. Antara punca utamanya ialah:

a)      Mereka mahu berpoligami tetapi tidak dapat melepasi syarat-syarat yang dikenakan oleh undang-undang dan (atau) tidak mahu perkahwinan tersebut diketahui oleh isteri pertama.
b)      Pilihan mereka tidak direstui oleh orang tua.[1]

Kahwin lari menimbulkan pelbagai kesan negatif berbanding positif bagi pasangan yang memilih jalan singkat seperti ini. Antara kesan yang biasa kita lihat dan dengar ialah, perpecahan keluarga dan memutuskan silaturrahim. Di antara matlamat perkahwinan itu sendiri adalah untuk mencapai kebahagiaan, ketenangan dan mengeratkan dua buah keluarga. Oleh itu, kahwin lari adalah dilarang kerana dikhuatiri akan berlaku perpecahan dalam kedua-dua belah pihak keluarga. Di samping itu, ia tidak mengikuti sunnah Rasulullah SAW yang mensyariatkan perkahwinan bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim dan melahirkan kegembiraan semua pihak yang terlibat. Sepertimana yang dinyatakan dalam surah Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud:

'Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan di antara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir. '
(Ar-Ruum:21)[2]

3.1.2. Isu berkaitan bab Akhlak :
Kita sering dikejutkan dengan pelbagai isu di dada-dada akhbar yang berkitan dengan gejala sosial pada masa kini antaranya, pelacuran, pembuangan bayi, khalwat, ragut, dan sebagainya. Dan apa yang lebih meruncingkan lagi adalah, perkara-perkara ini secara umumnya melibatkan remaja-remaja dan golongan belia masa kini. Keruntuhan akhlak atau disebut juga sebagai dekadensi moral bukan satu permasalahan baru dalam masyarakat di negara kita malah dimana-mana Negara sekalipun. Negara kita hari ini sedang menghadapi masalah kegawatan akhlak yang teruk yang sekiranya tidak di ambil serius sejak awal  akan memberi implikasi terhadap masa depan agama dan umat Islam secara keseluruhannya.Antara masalah akhlak yang sedang berlangsung di Negara ini ialah masalah kerenggangan sosial,ketagihan dadah,seks bebas,lari dari rumah,sumbang mahram,individualistik,materialistik,dan rasuah.

Isu pembuangan bayi khususnya, perkara ini sudah menjadi sesuatu yang lazim dalam masyarakat kita. Saban hari, kita dapat memperoleh berita tentang bayi dijumpai di dalam tandas awam,di tepi longkang,dan lain –lain tempat lagi tanpa ada perasaan perikemanusiaan dalam kalangan remaja. “Untuk tahun 2012 sahaja [sehingga jun] statistik pembuangan bayi adalah sebanyak 31 kes”, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Harjeet Singh.[3]  Antara punca utama berlakunya kes seperti ini adalah disebabkan pergaulan bebas yang tidak terkawal dan kurangnya tentang didikan agama dan moral. Kerana itu, dalam syariat Islam amat ditegaskan mengenai batas pergaulan (ikhtilat) diantara lelaki dan perempuan bagi menjaga kehormatan dan maruah diri sepertimana yang diterangkan dalam ayat Al-quran yang bermaksud:

“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan Yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. oleh itu janganlah kamu berkata-kata Dengan lembut manja (semasa bercakap Dengan lelaki asing) kerana Yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang Yang ada penyakit Dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).”                                                                          (Al-Ahzaab : 32)[4]

Sepertimana yang diterangkan dalam hadis-hadis berikut juga:

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana sesungguhnya yang ketiga itu tentulah syaitan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya jika kepala seseorang dari kamu ditikam dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya.”[5]
Islam juga turut meletakkan garis panduan agar mengasingkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan sejak dari kecil lagi sepertimana dalam sabda Rasulullah s.a.w yang berkmaksud:

“Perintah anak kamu bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun, jika mereka tidak melakukannya sehingga umur 10 tahun, pukul mereka, dan pisahkan juga diantara mereka ( lelaki dan perempuan) dari tempat tidur”. ( Riwayat Al-hakim dan Abu Daud )[6]

Tujuan Rasulullah s.a.w menganjurkan perintah  ini adalah untuk mendidik anak-anak mengenai batas pergaulan antara ahli keluarga supaya tidak berlaku perkara negatif seperti sumbang mahram.

3.1.4. Isu berkaitan bab Muamalat:
Muamamalat adalah semua hukum syariat yang bersangkutan dengan urusan dunia,dengan memandang kepada aktiviti hidup seseorang seperti jual-beli, tukar-menukar, pinjam-meminjam dan sebagainya. Muamalat juga merupakan tatacara atau peraturan dalam perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing yang berlandaskan syariat Allah s.w.t yang melibatkan bidang ekonomi dan sosial Islam .
Walaubagaimanapun, ramai dikalangan peniaga masa kini yang sering mengabaikan keutamaan syariah dalam menjalankan perniagaan. Ada yang lebih mengutamakan keuntungan berbanding kualiti barangan serta kehalalannya dan perkhidmatan dalam perniagaan. Sebagai contoh, menjual barangan yang tidak pasti sejauh mana kehalalannya dan siapa pihak pengeluarnya kepada pengguna. Sebagai seorang muslim, seharusnya kita mengutamakan yang halal dan sebolehnya menjauhi perkara yang haram dan syubhah. Harta-harta yang berkat itu adalah harta yang halal dan baik, kerana sesuatu yang diambil dari yang tidak halal dan tidak baik tidak mungkin mampu mendorong seseorang kepada melakukan kebaikan sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain. Sebagaimana Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram maka api nerakalah yang layak baginya.
Selain itu, antara perkara yang sering menjadi isu pada masa kini juga adalah perkara yang berkaitan dengan riba. Riba dalam pelbagai bentuknya adalah sangat dilarang dalam Islam kerana ia menjadi punca kepada penindasan dan ketidaksamaan dalam ekonomi. la boleh mewujudkan keadaan orang yang kaya menjadi bertambah kaya dan orang miskin menjadi bertambah miskin.[7] Larangan terhadap amalan riba ini disebut dalam banyak ayat al-Quran. Antara ayat-ayat yang berkaitan adalah seperti berikut maksudnya:
“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu, sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”.
(Al-Baqarah, 2:275)[8]


4.1 KAEDAH MENANGANI PERMASALAHAN SYARIAH

1.      Isu berkaitkan bab Munakahat
Insititut kekeluargaan adalah merupakan satu perkara yang penting dalam Islam. Keharmonian sesebuah rumahtangga adalah bergantung dengan bagaimana cara pengendalian dan perlaksanaan hukum Islam didalamnya bagi mewujudkan sebuah keluarga yang sakinah dan bahagia mengikut corak Islam. Walubagimanapun, lewat kini kita sering menghadapi isu rumahtangga seperti perceraian, kahwin lari dan sebagainya. Bagi menangani perkara ini, pelbagai langkah yang boleh kita ambil dan telah diusahakan antaranya:

-          Rundingcara: Pada hakikatnya Islam telah menganjurkan prinsip-prinsip tertentu untuk membentuk, mengekal dan memperbaiki sesebuah rumah tangga. Tetapi dari segi tekniknya atau pendekatannya hendaklah disesuaikan dengan keadaan semasa. Rundingan di dalam bidang kekeluargaan amat diperlukan pada tiga peringkat berdasarkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Sebagai contoh, Rundingcara apabila berlaku konflik rumah tangga khususnya, Dalam istilah fiqh terdapat perkataan “Nusyuz”. Nusyuz bermakna keadaan di mana suami atau isteri enggan menunaikan kewajipannya sebagaimana yang dituntut oleh syara’. Terdapat arahan yang jelas berhubung dengan sikap seorang isteri yang enggan taat kepada suaminya.

Langkah awal yang mesti dilakukan terhadap isteri ialah dengan menasihatinya. Kedua, jika nusyuznya masih berterusan meskipun telah dinasihati maka suami boleh meninggalkan tempat tidur dengan isteri.Ketiga, pihak suami boleh memukul isterinya, pukulan sekadar mengajar dan bukan pada tempat yang sensitif seperti di muka. Sebaliknya jika pihak suami yang nusyuz maka isteri hendaklah mengadu kepada Qadi. Apabila nusyuz berlaku sehingga ke peringkat yang paling sengit maka ianya dikenali sebagai “Shiqaq”. Apabila berlaku shiqaq maka terdapat satu institusi pendamai yang dianjurkan oleh Islam yang dikenali sebagai “Hakim”. Islam menganjurkan supaya dilantik seorang hakim mewakili pihak suami dan seorang hakim mewakili pihak isteri.[9]

-          Kursus pra perkahwinan: Bagi menyedarkan remaja dan muda mudi tentang tujuan sebenar perkahwinan, anjuran kursus perkahwinan sering diadakan khususnya di institut pengajian IPTA/IPTS.  Tujuannya adalah untuk memberi kesedaran kepada para belia tentang matlamat sebenar sebuah perkahwinan didalam Islam serta peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan didalamnya. Ini kerana, kita sering mendengar kes seperti remaja kahwin lari, perceraian disebabkan kurangnya ilmu mengenai rumatahtangga serta pengabaian tanggungjawab seorang suami dan isteri. Dengan adanya kaedah kursus pra perkahwinan ini, para belia dapat didedahkan tentang kepentingan menjaga keharmonian rumahtangga, peranan sebagai seorang anak-isteri-suami serta perkara yang haram dan halal dilakukan apabila mendirikan rumahtangga.

2.      Isu berkaitan akhlak
Pada masa kini, kita sering mendengar permasalahan yang berkaitan  dengan keruntuhan akhlak remaja muda mudi masa kini. Keadaan ini semakin meruncing dan merisaukan dan sekiranya tidak ditangani, boleh menyebabkan kesan yang amat buruk dimasa akan datang. Ini keran, remaja masa kini adalah pemangkin dan peneraju kepada kepimpinan masa hadapan. Sekiranya akhlak dan sahsiah mereka terus merundum jatuh, dikhuatiri kita akan kehilangan pemimpin yang benar mampu mebimbing kita ke arah yang lebih terjamin dengan mengamalkan kehidupan Islam dimasa mendatang. Antara kaedah yang boleh dan telah diambil pada masa kini ialah:

-          Ibu bapa sebagai peranan utama: Ibu bapa harus mengambil berat tentang pergaulan anak-anak mereka. Sekali-sekala ibu bapa perlu menyiasat apakah yang dilakukan oleh anak mereka semasa berada di luar rumah. Terangkan kepada anak-anak atau pelajar-pelajar mengenai keburukan dan akibat pergaulan bebas menerusi kaunseling dan ceramah. Terangkan kepada mereka mengenai keburukan seks rambang dan penyakit-penyakit yang disebabkan oleh aktiviti seksual seperti AIDS. Persekitaran dan cara didikan didalam sesebuah keluarga mempengaruhi akhlak dan peribadi anak-anak. Mungkin kita mampu untuk memenuhi keinginan anak-anak tetapi kita sering alpa apa yang diperlukan oleh mereka iaitu perhatian,pelukan dan kasih sayang kerana keinginan dan kepreluan adalah merupakan dua perkara yang berbeza. Oleh itu, ibu bapa seharusnya menjadi contoh yang terbaik kepada anak-anak agar kehidupan yang positif dapat diterapkan dalam diri mereka secara tidak langsung. Aspek yang paling penting adalah dengan menerapkan dan mencorakkan anak-anak dengan nilai-nila kebaikan dan cara hidup islam sejak dari mereka dilahirkan lagi. Ibu bapa yang baik lebih mementingkan  kasih sayang, mendidik pekerti mulia dan memberi perhatian kepada anak sebagai bekalan meneruskan kehidupan yang penuh pancaroba ini kerana anak-anak bukanlah hak tetapi amanah yang diberikan daripada Allah s.w.t dan perlu dididik dan dijaga sebaiknya.

-          Mengadakan kempen solat dan motivasi bagi golongan Muslim: Memandangkan gejala ini dihadapi kebanyakan daripada golongan Melayu, maka satu pendekatan keislaman haruslah diambil bagi menangani masalah ini. Sekiranya penyakit ini dapat diubati dalam komuniti Islam, hal ini secara tidak langsung akan mempengaruhi komuniti bukan Islam untuk turut menyelesaikan masalah dalam komuniti bukan Islam. Solat merupakan tiang agama. Remaja mampu dicegah daripada melakukan perkara-perkara munkar dengan mendirikan solat. Solat juga mampu membentuk peribadi individu serta membentuk masyarakat serta komuniti Islam yang sempurna. Selain itu, seminar motivasi juga dapat membantu dalam meneutralkan kembali emosi dan fikiran anak-anak yang tercemar dengan gejala negatif. Walau sejauh manapun mereka telah tersasar dari landasan hidup, namun mereka masih ada peluang untuk berpatah balik dan memperbetulkan kesilapan mereka. Cuma apa yang mereka perlukan adalah bimbingan dan motivasi daripada kita dan sokongan moral dari pada masyarakat dan keluarga utamanya. Kempen dan seminar ini boleh dilaksanakan disekolah-sekolan ataupun badan-badan  NGO tertentu.

  
3.      Isu berkaitan bab Muamalat:
Bagi menangani berlakunya perkara syubhah dan penjualan barangan yang tidak halal, pelbagai kaedah yang telah diusahakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Antara usaha yang dilakukan ialah:

-          Mengiklankan barangan yang tidak halal: Bagi mengatasi isu ini, pihak JAKIM telah menjalankan tinjauan ke syarikat atau agensi pembuatan makanan bagi memastikan sumber dan proses sepanjang pembuatan makanan tersebut adalah dijamin bersih dan halal. Pihak JAKIM juga turut mengkaji setiap kandungan produk yang diimport ke dalam negara kerana dikhuatiri terdapat unsur yang tidak halal dalam pembuatan makanan tersebut contohnya penggunaan gelatin ( lemak khinzir) ataupun campuran arak dalam makanan.  Meskipun kebanyakan makanan ada yang mempunyai logo halal, namun tidak dapat diayakini sejauh mana kehalalanya. Oleh iut, pihak JAKIM telah menetapkan setiap makanan yang dikeluarkan oleh mana-mana pinak pengeluar ataupun diimport hendaklah mendapat pengesahan dan logo halal daripada pihak JAKIM berdasarkan prosedur dan kajian yang terperinci. Dan setiap makanan yang diragui hendaklah dijauhi bagi mengelakkan berlakunya syubhah. Pihak JAKIM juga turut mengeluarkan dan mengiklankan senarai barangan yang tdak halal kepada masyarakat sebagai langkah berhati-hati semasa membeli makanan atau produk dipasaran.

-          Rancangan televisyen- Bagi mendedahkan kepada masyarakat mengenai perniagaan dalam Islam serta isu halal dan haram, media juga memberi peranan utama dalam menyebarkan maklumat yang berguna. Oleh itu stesesn televisyen kini telah banyak mewujudkan program televisyen yang berkaitan dengan isu agam sebagai contoh rancangan televisyen astro Oasis dan yang terbaru adalah rancangan televisyen Al-hijrah dimana didalamnya terdapat salah satu rancangan yang bertajuk Agen Halal yang mendedahkan mengenai isu halal dan haram.

-          Seminar Keusahawanan Islam: Di samping memberi galakan kepada umat Islam untuk menceburkan diri dalam perniagaan, oleh itu, seminar yang menrangkan tentang keusahawanan dalam islam adalah merupakan satu alternative dalam membimbing para usahawan islam berniaga berlandaskan syariat islam. Ini bertujuan supaya tidak berlakunya penipuan, ketidakadilan, penganiayaan dan sebagainya yang akhirnya akan membawa kepada keruntuhan ekonomi dan mengancam kesejahteraan masyarakat seluruhnya. Seharusnya etika perniagaan dalam islam hendaklah berlandaskan  dua sumber utama hukum Islam iaitu al-Quran dan hadis. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi s.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”. (Hadis Riwayat Malik – dipetik daripada Mohd Radzi &
Ghafarullahuddin, 2005 : 10).

Kepentingan Syariah dalam kehidupan Manusia


2.1 KEPENTINGAN SYARIAH DALAM KEHIDUPAN MANUSIA

Islam adalah satu-satunya agama yang diiktiraf oleh Allah dan diturunkan kepada manusia bagi mengatur kehidupan mereka. Al-Quran merupakan sumber hukum Islam yang utama, asli dan abadi.
Ia merupakan sebuah kitab yang lengkap, yang menjadi panduan kepada semua umat manusia. Kandungannya merangkumi pelbagai hukum dan peraturan hidup untuk manusia dalam segala aspek kehidupan  Setiap perundangan hukum dalam syariah Islamiyah adalah bertujuan untuk melindungi atau memelihara kepentingan akal, agama, harta, nyawa dan nasab atau keturunan umat manusia. Islam adalah agama yang syumul ( sempurna), setiap garis panduan yang telah ditetapkan dalam Islam adalah bersesuaian mengikut tempat, bangsa dan zaman. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Al-Jathiah ayat 18 yang bermaksud :
“Pada kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad s.a.w dan utuskan engkau) menjalankan satu jalan yang cukup lengkap dan hukum-hukum agama ; Maka turutlah akan jalan itu dan jangan engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar.”)[1]
Bagi ummat Islam, Syariat Islam adalah merupakan panduan hidup yang integral/menyeluruh dan sempurna bagi seluruh permasalahan hidup manusia dan kehidupan dunia ini. Setiap permasalahan yang melibatkan agama harus dirujuk kembali kepada syariah Islam agar setiap apa pun yang dilakukan tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Berikut adalah kepentingan syariah dalam kehidupan manusia:

1.      Untuk mendidik manusia- Hakikatnya kehidupan manusia tidak terlepas dari  ujian  dan dugaan sebagaimana dalam firman Allah dalam surah Surah Al-Ankabut ayat 2-3 yang bermaksud:
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”[2]

Setiap ujian dan dugaan yang menimpa manusia adalah datang daripada Allah dan tujuannya adalah untuk mendidik manusia agar lebih kuat dan menjadi insan yang lebih bertakwa. Syariat diturunkan bagi mendidik manusia menghadapi segala ujian dan cubaan tersebut. Syariah menanamkan keimanan dan nilai-nilai amanah dan kebenaran dalam jiwa seseorang itu. Sebahagaian dari program pendidikan dalam Islam ialah melalui ibadah. Amalan ibadah yang disyariatkan oleh Allah ini memainkan peranan mendidik manusia supaya menjadi ahli masyarakat yang berguna dan memberi manfaat kepada yang lain. Sebagaimana firman Allah yang mensyariatkan hambanya agar menunaikan solat  didalam Al-quran yang bermaksud:
“Dan dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat. Dan kebaikan apa saja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahala nya pada sisi Allah. Sesungguhnya Alah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan”
(QS. Al Baqoroh : 110)

“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu , sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar” (QS. Al Baqoroh : 153)

“Dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.” (Al-Ankabut: 45)[3]
     
2.      Syariah sebagai perisian Problem Solving ( Penyelesaian Masalah) dalam kehidupan- Syariat Islam merupakan satu peraturan yang bersifat universal dan global (Syumuliyyah). la merangkumi seluruh bidang keperluan manusia yang meliputi aspek hubungan antara manusia dengan tuhan,  hubungan sesama manusia dan alam sekitar. Syariah memelihara lima tunjang yang menjadi pokok dan asas utama dalam memelihara keamanan dan kesejahteraan seluruh umat manusia iaitu menjaga agama, nyawa, akal, maruah dan harta. Lima perkara tersebut dipanggil sebagai maqasid Syariah.[4] Setiap permasalahan yang melibatkan kelima perkara ini akan diselesaikan berdasarkan syariat Islam dengan menjadikan wahyu Illahi, hadis dan sunnah sebagai sumber rujukan utama. Syariat Islam digunakan untuk menentukan sama ada sesuatu perkara itu  wajib, harus, sunat, makruh atau pun haram dilakukan. Tujuannya adalah untuk menjernihkan kekeliruan yang melibatkan bab-bab agama agar setiap perkara yang dilakukan mendapat keredhaan Allah dan demi kemaslahatan manusia.

Penghayatan yang kedua ini juga amat berkaitan dengan perhubungan masyarakat terutamanya dalam hubungan menjaga hak asasi manusia dan tidak mencerobohinya. Jika berlaku pencerobohan maka hukuman tertentu menantinya.Hukuman yang ditetapkan oleh syarak bukan semata-mata bertujuan untuk menghukum si penjenayah tetapi membendung masyarakat dari melakukan jenayah tersebut. Bagi mencapai matlamat inilah disyariatkan agar melaksanakan undang-undang jenayah Islam seperti hudud,qisas dan takzir. Sebagaimana firman Allah dalam Al-quran yang bermaksud:

“Itulah hukum-hukum yang telah ditentukan. Oleh itu janganlah kamu mencabulnya, dan sesiapa yang mencabuli hukum-hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” (Surah al-Baqarah:229)[5]

  Garis panduan yang telah ditetapkan dalam syariat Islam adalah untuk membawa kepada kebaikan sebanyak yang mampu kepada manusia dan bukannya kemudharatan, membuka jalan ke arah yang lebih jernih agar manusia tidak terus berada dalam kejahilan.


3.      Penegak Keadilan- “Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa” (Surah Al-hadid : 25).[6]

Berdasarkan daripada ayat diatas, jelas menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang adil dan seimbang. Tidak terlalu memberatkan malah memudahkan. Sepertimana dalam firman Allah yang bermaksud :
“Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan”. (Al-Hajj:78)

Syariat islam adalah untuk memperjelaskan lagi segala garis panduan yang telah termaktub didalam kitab suci Al-quran. Tujuannya adalah bagi memudahkan ummat manusia untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai hukum-hukum syara’ berdasarkan dalil dan hujah yang terdapat didalam Al-quran , hadis dan sunnah Rasullullah s.aw. Keadilan dalam Islam adalah bermaksud mengambil hak dari orang zalim dan meletakkannya kepada orang yang dizalimi dan tertindas. Hal ini dijelaskan sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak berlaku adil (kepada sesiapajua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa”. (Al-Ma'idah: 8)

Al-Quran mewajibkan setiap manusia berlaku adil di dalam segala urusannya, terutama daripada kalangan pemerintah yang berkuasa. Hal ini dijelaskan Allah s.w.t yang bermaksud:
Jika kamu menghukum manusia hendaklah kamu menghukum seadil-adilnya (Al-Nisa' : 58)[7]

Keadilan syariah dapat dilihat dengan wujudnya kesamarataan di dalam mentaklifkan segala fardu ain. Setiap manusia diwajibkan melaksanakan syariat Allah dan meninggalkan segala laranganNya tanpa ada kekecualian kepada individu-individu tertentu. Keadilan akan menghasilkan pelaksanaan segala  perintah Allah s.w.t dan meninggalkan segala laranganNya. Sedangkan kezaliman pula ialah meninggalkan segala suruhanNya dan mengerjakan segala larangan Allah s.w.t.[8]


[1] Al-quranul Karim Surah Al-Jathiah ayat 18 
[2] Al-quranul Karim Surah Al-Ankabut ayat 2-3
[3] Al-quranul Karim surah Al Baqoroh : 110,153, Al-Ankabut: 45
[5] Al-qruanul Karim surah  Surah al-Baqarah:229
[6] Al-qruanul Karim surah Surah Al-hadid : 25, Al-Hajj:78
[7] Al-quranul Karim surah Al-Ma'idah: 8, Al-Nisa' : 58

Monday 11 March 2013

Bidang seni dalam ISLAM



7.1 BIDANG SENI DALAM ISLAM
Antara bidang seni dalam Islam termasuklah:
  1. a)      Seni khat seperti tulisan Jawi/Arab pada kertas, kain, kayu, lukisan dan sebagainya.
  2. b)      Seni bina seperti masjid, kubu tentera, mihrab, mimbar, empangan dan lain-lain.
  3. c)      Seni suara seperti nasyid, qasidah, tilawah al-quran, berzanji, dan sebagainya.
  4. d)     Seni muzik seperti lagu perang, menyambut kelahiran, menyambut hari raya, hari perkahwinan dengan menggunakan alat muzik ringan seperti kompang, rebana dan gendang.

 7.1.1 Seni khat
·         Maksud Seni Khat:
Seni khat ialah satu ilmu yang memperkenalkan bentuk-bentuk huruf tunggal, penyusunannya dan cara-cara merangkainya menjadi sebuah tulisan yang tersusun. Ianya merupakan seni bentuk tulisan Jawi/ Arab (calligraphy). Khat ialah perkataan Arab yang bermaksud garisan. Seni khat bermaksud garisan indah yang membentuk tulisan. Ia juga bermaksud tulisan-tulisan (kitabah) yang terikat dengan peraturan dan kaedah yang telah dikaji dan ditentukan oleh mereka yang terlibat dengan kemajuan seni.[1]

·         Sejarah Ringkas Seni Khat :
Khat adalah merupakan salah satu kesenian yang sangat halus dan indah. Ianya lahir dan berkembang dalam penulisan arab dan menjadi sebahagian daripada peradaban islam. Setelah kehadiran islam, penulisan arab semakian giat berkembang. Seni Khat telah menjadi salah satu ciri untuk memperindahkan tulisan menjelang abad pertama dan kedua Hijrah. Ketika zaman Rasulullah, Islam telah datang membawa perubahan yang besar terutama dalam bidang penulisan. Penulisan telah menjadi perantaraan terpenting dalam penetapan pencatatan, pengajaran dan penghebahan sehingga ia berkembang luas. Selepas hijrah nabi, seni khat telah menjadi manifestasi bagi suatu perubahan yang agung mengatasi perkembangannya selama tiga abad selepas itu iaitu pada zaman Khulafa Ar-Rasyiddin, zaman Khalifah Uthman bin Affan r.a dan seterusnya pada zaman pemerintahan Bani Umaiyyah. Ini kerana, pengumpulan dan penulisan Al-quran pada ketika itu giat dijalankan memandangkan ramai para penghafaz Al-quran yang syahid syahid di peperangan. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, beliau telah mengamanakan Zaid bin Thabit mengumpul dan menulis al-Quran.



Raja 7.1.1 Tulisan Khat Arab ( Kufi) di kubur Thabit bin Zaid pada 64H.

Pada zaman Bani Umaiyah, khat mula berkembang maju. Bentuk tulisan pada ketika itu lebih lembut mempunyai nilai estetika yang tinggi. Tanda titik dan baris mula diperkenalkan untuk memudahkan orang-orang ajam (selain bangsa Arab) mengenali tulisan Arab. Ziad (Dato’ Bandar Basrah) merupakan penulis wahyu Rasullullah meminta Abu Aswad al-Du'ali meletakkan tanda titik pada tahun 45 Hijrah, kemudian perletakan baris disempurnakan oleh al-Khalil bin Ahmad al-Farahidi. Disamping itu penggunaan kertas yang terkenal dengan nama ‘kertas Syami’ adalah salah satu langkah positif dalam usaha meningkatkan penulisan seni khat.[2]

  
 



Rajah 7.1.2 Tulisan Kufi yang hampir kepada nasakh yang diletakkan baris oleh al-Farahidi ditemui berusia sejak 135H.


Keindahan seni khat telah sampai ke kemuncaknya pada tahun 300 Hijrah di tangan ‘bapa’ khat Arab, iaitu Abu Ali Muhammad bin Muqlah, merupakan seorang penulis, penyair, khattat (penulis khat) dan seorang menteri di Baghdad (272-328H / 885-939M). Beliau mempelajari khat daripada al-Ahwal al-Muharral dan merupakan orang yang mula-mula mencipta kaedah menilai penulisan khat dengan menggunakan alif sebagai asas penentuan bentuk huruf, maka terhasillah daripadanya khat yang indah dengan kaedah yang mantap ini dan seterusnya berkembang di timur dan barat.

·         Jenis- jenis Tulisan Khat:
Terdapat empat jenis khat yang biasa kita ketahui dan lazim digunakan pada masa kini. Antaranya ialah :

·         Khat Nasakh:
Khat Nasakh berkembang daripada bentuk yang kaku kepada bentuk yang terkini sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. Khat ini telah sampaikan kepada orang Arab Hijaz dan digunakan di jabatan-jabatan kerajaan dalam urusan surat-menyurat pada zaman permulaan Islam. khat ini bertambah baik bentuknya apabila khattat Ali bin Muqlah (tahun 272-328H) telah mencipta kaedah penulisan Khat Nasakh. Pada masa kini, khat nasakh digunakan dalam alam pendidikan dan sering menjadi pilihan untuk dipertandingkan di peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat antarabangsa.

Contoh khat Nasakh:












·         Khat Riqah :
Sejenis khat yang direka cipta oleh orang Turki pada zaman kerajaan Uthmaniyah (850H). Tujuan khat ini dicipta ialah untuk menyeragamkan tulisan dalam semua urusan rasmi di kalangan kakitangan kerajaan. Menurut Kamus Bahasa Riqa’ah bermaksud cebisan kertas yang ditulis. Ciri tulisan ini ialah bentuk huruf yang kecil, lebih cepat dan mudah ditulis, jika dibandingkan dengan khat nasakh. Penggunaan khat ini dalam masyarakat kita tertumpu pada penulisan nota dan tulisan. Pada masa kini penggunaannya turut diperluaskan dalam urusan surat menyurat, urusan perniagaan, iklan dan promosi barangan serta dijadikan tajuk-tajuk besar dalam akhbar.

Contoh Khat Riqah:






·         Khat Thuluth:
Dinamakan Thuluth kerana huruf menegaknya ditulis dengan mata pen (qalam) yang ukuran lebarnya menyamai 1/3 (thuluth) mata pen. Ada pendapat mengatakan asalnya khat ini ditulis menebal dengan 24 helaian bulu kuda. Kemudian ketika jenis ini ditulis pula dengan menggunaka 2/3 menjadikan namanya Khat Thulutain ( 2/3), kemudian terakhir ditulis dengan menggunakan 1/3 daripada 24 helaian bulu kuda menjadikan namanya Thuluth(1/3) iaitu 8 helaian bulu kuda. Merupakan khat yang paling sukar dan sering digunakan pada hiasan dinding dan kubah-kubah masjid.

Contoh khat Thuluth:











Khat Thultuh yang digunakan sebagai hiasan didalam masjid :







·         Khat Kufi
Khat Kufi merupakan sejenis khat yang popular selain khat Nasakh. Nama Kufi diambil bersempena dengan nama sebuah bandar iaitu al-Kufah yang terletak di Mesopotamia. Secara umumnya, ciri-ciri yang ada pada bentuk huruf khat Kufi adalah bersegi, tegak, dan bergaris lurus. Bentuknya yang berunsur geometri iaitu lurus dan tegak amat sesuai diukir di mozek-mozek, jubin dan batu pada bangunan-bangunan seperti masjid dan seumpamanya. Dengan dihiasi pelbagai variasi khat, telah terbentuk sejenis khat yang tidak lagi ditulis dengan menggunakan pen khat, tetapi dilukis dengan pensil, menggunakan kertas graf, pembaris dan juga alat jangka lukis. Khat kufi juga boleh dihasilkan dengan menggunakan Microsoft excel.

Contoh khat kufi :












Unsur Khat Kufi pada hiasan dinding Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putarajaya :
















7.1.2. Seni Bina
Seni bina bermaksud satu bidang seni untuk mendirikan bangunan, reka bentuk yang direka oleh manusia.Ibn Khaldun dalam kitabnya berjudul al- Muqadimah menyatakan, Kedudukan rohani setiap bangsa, pandangan hidupnya, cita-citanya, telah dilahirkan pada bangunan-bangunan yang didirikannya. Setiap bangsa yang mendorong ke arah kemajuan pasti mempunyai kepintaran ilmu bangunan sebagai pembuktian betapa tingginya sesuatu tamadun.[3] Seni bina Islam yang terpenting dan harus diperhatikan adalah seni bina masjid kerana ia adalah merupakan bangunan pertama yang dibangunkan oleh Rasulullah s.a.w.

·         Sejarah Perkembangan Seni Bina Islam
Pada awalnya, sejarah seni bina Islam bermula dan berkembang secara berperingkat seiring dengan perkembangan seni pembinaan kota dan tradisi ilmu. Seni bina Islam bermula melalui pembinaan masjid (Masjid Nabi) di Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w. Di awal pembinaan masjid Nabawi, masjid ini tidak mempunyai menara mihrab atau kubah. Sebagaimana dalam hadis riwayat Al-Bukhari yang bermaksud-Nafi` r.a berkata:`bahawa Abdullah bin Umar r.a memberitahu kepadanya bahawa pada zaman  Rasululullah s.a.w,Masjid itu dibina daripada batu-batu yang dijemur,atapnya dari dahan kurma serta tiangnya dari batang kurma.[4] Pembinaan kubah masjid dikatakan bermula apabila ia dibina berdekatan dengan masjid yang didirikan oleh Khalifah Umar al-Khattab pada tahun 636 Masihi berhampiran dengan Masjid al-Aqsa di Jerusalem, Palestin. Secara umumnya kini, semua masjid di seluruh pelosok dunia mengandungi unsur seni bina seperti mihrab, menara mimbar, kubah dan seni kaligrafi (khat) Arab yang mengandungi ayat suci Al-quran  untuk melambangkan identiti masjid diperingkat zahir, dan secara tidak langsung melambangkan indentiti Islam dari sudut nilai kebatinannya.


·         Ciri-ciri utama seni bina Islam

-          di peringkat negara Islam dan seluruh pelosok dunia terdapat kesatuan dalam seni bina natijah dari kesatuan dalam Islam, melalui konsep tauhid
-          ciri-ciri kesatuan dalam seni bina Islam ialah pengaruh dari pusat- pusat ketamadunan Islam seperti Madinah dan Makkah (Semenanjung Arab), Baitui Muqaddis (Palestin), Baghdad (Iraq) dan Damsyik (Syria).
-          oleh sebab Islam itu merupakan suatu cara hidup (ad-Din) yang menyeluruh dan sempurna, maka ia menyerap dan berkembang secara menyeluruh ke dalam kehidupan manusia serta tidak disempitkan atas dasar ibadat semata-mata.
Secara umumnya, masjid bukan hanya tempat untuk ibadat sahaja, kertika era pemerintahan Rasulullah hinggalah kini ia turut digunakan sebagai tempat untuk perpustakaan, tempat musyawarah, politik serta sebagai tempat untuk ummat islam melakukan pelbagai masjlis ilmu. Jadi tidak hairanlanlah mengapa saiz ruangan bagi sebuah masjid kebanyakannya luas dan besar  kerana ia bertujuan agar boleh memuatkan ramai jemaah dan melakukan pelbagai aktiviti dan bukan untuk tujuan ibadah semata-mata.

 

  
Masjid Nabawi, Madinah yang unik dan tersergam indah.
  
Dalam seni bina Islam, seni bina masjid khususnya, antara ciri-ciri yang boleh dilihat ialah khususnya dari aspek binaan mimbar, arah kiblat, tempat kedudukan imam, ruang berkumpul,  anjung dan serambi, mihrab, tempat berwuduk, menara tempat muazzin melaungkan azan, kubah dan lain-lain lagi seperti taman-taman yang bercirikan islamik. Walaubagaimanapun, seni beni islam tidaklah mengutamakan aspek keindahan dan perhiasan sebagai matlamat, tetapi hasil gabungan seni kreativiti dan inovasi mat, artis, seniman dan arkitek Muslim, ia menjadi suatu seni yang bernilai tinggi yang disepadukan bersama penggunaan corak, warna dan eka bentuk yang dibuat berdasarkan ajaran al-Quran. Berikut adalah contoh gambar binaan masjid yang unik dan indah:
]
 

   
Rajah 7.1.2 Keunikan kubah Masjid Al-Hadhari, Terengganu




Rajah 7.1.3 Masjid di Kruszyniany, Poland
[ walaupun senibinanya kelihatan seperti seni bina barat namun kewujudan menara berkubah dikiri dan kanannya masih menampakkan dan mengekalkan ciri-ciri islamiknya].



 Rajah 7.1.4Masjid Manjali di Atyrau, Kazakhstan 


     
    Rajah 7.1.5Masjid Kul Sharrif di Kazan, Rusia


7.1.3. Seni Suara
Seni Suara bermaksud mengalunkan suara dengan merdu ( sekadar yang dianugerahkan oleh Allah). [5] Suara yang indah adalah anugerah dari Allah s.w.t. Islam tidak melarang ummatnya untuk menikmati keindahan seni suara selagimana ianya tidak bertentangan dengan syara serta disalurkan dengan cara yang betul.  Alunan suara biasanya berbentuk nyanyian. Setiap tempat dan bangsa mempunyai nyanyian atau lagu-lagu yang tersendiri. Dalam islam, Terdapat pelbagai cara untuk menyalurkan seni suara dengan cara yang lebih baik dan bermanfaat. Antaranya ialah:

·         Tilawah Al-quran :
Tilawah Al-quran adalah salah satu pembacaan al-quran dengan menggunakan taranum. Tarannum dari segi bahasa ialah lagu. Manakala dari segi istilah ialah mencantikkan dan mengelokkan suara mengikut proses nada, rentak dan irama tertentu. Ia membawa maksud ilmu dan kaedah memperelok atau memperindah bacaan al-Quran secara berlagu. Tujuan mengalunkan seni suara ini adalah untuk memberi kefahaman kepada para pembaca terhadap keindahan kalimah-kalimah Allah S.W.T serta mampu menghayati setiap kalimah yang dialunkan. Sesuai dengan gesaan Rasulullah s.a.w supaya membaca al-Quran dengan cara yang paling baik, seperti yang dapat difahami melalui satu hadis yang bermaksud: Hiasilah al-Quran dengan suaramu kerana suara yang baik akan menambah keelokan al-Quran.´ (Riwayat Hakim).


·         Qasidah :
Qasidah adalah merupakan syair Arab yang menjadi amalan sebagai penghibur hati orang Arab sejak dari zaman Rasulullah lagi. Ianya mengandungi pujian-pujian kepada Allah serta rasulnya serta berunsurkan nasihat dan biasanya dinyanyikan secara berkumpulan. Alunan qasidah yang indah boleh menimbulkan rasa rindu dan keharuan kepada Allah dan rasulnya. Ianya sering menjadi amalan orang Arab didalam majlis ilmu, perkahwinan dan juga majlis keramaian. Kini, Di Malaysia juga turut terdapat kumpulan-kumpulan qasidah yang telah ditubuhkan.

Contoh Qasidah:






·         Nasyid:
Nasyid adalah merupakan salah satu medan dakwah yang kontemporari. Rentak lagu yang pelbagai serta berunsurkan nasihat dan pengajaran. Nasyid dapat menjadi salah satu cara untuk menarik minat anak-anak muda untuk mengenali dan mendekati Islam. Nyanyian nasyid yang elok adalah yang meliputi aspek kerohanian dan ketuhanan dan bukannya berkisarkan perasaan semata-mata. Pada masa kini, pelbagai usaha yang telah dilakukan para kumpulan Nayid untuk mempelbagaikan persembahan nasyid mereka agar kelihatan menarik serta dapat menyampaikan mesej dan maklumat dengan cara lebih berhikmah dan indah.

7.1.4. Seni Muzik:
Islam tidak mengharamkan muzik secara total. Tetapi islam memberikan garis panduan agar muzik tidak disalahgunakan. Kita dibolehkan untuk berhibur tetapi bukan dengan cara yang berlebih-lebihan dan keterlaluan sehingga menyebabkan kelalaian. Terdapat beberapa ciri muzik yang dibenarkan oleh Islam iaitu :

       I.            Muzik yang lembut dan berdisiplin- jika kita lihat pada zaman sekarang, ramai dikalangan remaja kita terpengaruh dengan budaya barat dan suka kepada muzik yang berat dan berlebihan sehingga menyebabkan mereka lalai dan jauh dari agama. Muzik yang lembut dapat menimbulkan ketenangan dan kesan positif dalam diri kita dan begitulah sebaliknya kerana rentak sesebuah muzik dapat mempengaruhi emosi dan perasaan kita secara psikologinya.

    II.            Tidak menganggu, seperti pada waktu solat, terlalu kuat, pada larut malam dan mengganggu jiran tetangga. Sebagai contoh, berkaraoke sehingga muzik yang dipasang terlalu kuat dan mengganggu ketenteraman jiran-jiran tetangga. Perkara ini bukan sahaja boleh mengganggu ketenangan sesebuah rukun tetangga malah boleh menimbulkan kemarahan dan pergaduhan.

 III.            Diadakan di tempat yang baik seperti majlis perkahwinan, hari perayaan, dan bukannya ditempat yang bertentangan dengan Islam contohnya seperti kelab malam kaberet , bar dan sebagainya.

 IV.            Berpakaian menutup aurat, menjaga batas pergaulan diantara lelaki dan perempuan serta menjauhi perkara yang haram seperti minum arak, zina dan tarian yang dilarang.



                                  
8.1 RUMUSAN


    Secara ringkasnya, faslasafah kesenian dalam Islam adalah berpaksikan kepada tauhid. Hakikatnya, Islam tidak menjadikan keindahan dan hiasan dalam berseni itu sebagai satu matlamat tetapi Islam mengutamakan manfaat kesenian itu kepada agama dan masyarakat. Motif seni dalam islam haruslah menjurus kepada yang makruf , mengutamakan pembangunan akhlak serta mencegah kepada perkara mungkar.

Islam tidak menentang seni, selagimana seni tersebut tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip seni dalam Islam. Prinsip seni dalam Islam mestilah memartabatkan akhlak Islam, meningkatkan nilai kemanusiaan, dan berlandaskan wahuyu serta menghubungkan manusia dengan penciptanya. Fungsi seni dalam Islam adalah untuk menggiat akal manusia ke arah perkaitan alam rohani dan jasmani. Membina jiwa yang tenang dan khusyuk serta menambahkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Antara contoh-contoh bidang kesenian dalam Islam ialah, Seni khat, seni bina, seni suara seni muzik dan pelbagai lagi. Secara fitrahnya, manusia dan seni memang tidak dapat dipisahkan. Seni yang pelbagai mampu menjadi medan dakwah yang efektif jika para pencinta seni benar menghayati konsep kesenian yang sebenar mengikut Islam.