Monday 18 February 2013

Kesenian Dalam Islam




PENGENALAN

   Secara fitrahnya, didalam jiwa, perasaan dan keinginan manusia tertanamnya rasa sukakan keindahan. Keindahan adalah merupakan satu kesenian, dan untuk mentakrifkan seni itu secara tepat adalah sesukar untuk menerangkan konsep keindahan dan kesenangan itu sendiri.

Islam adalah merupakan sebuah agama yang indah dan sejahtera. Diturunkan oleh Allah S.W.T kepada seluruh ummat manusia tanpa mengenal bangsa. Islam adalah agama yang nyata (waqi’e) sesuai dengan fitrah manusia, pada semua tempat, zaman dan situasi menepati citarasa, kehendak, sifat, keinginan, nafsu, perasaan dan akal fikiran manusia. Al-Farabi menjelaskan seni sebagai ciptaan yang berbentuk keindahan, Al-Ghazali pula menjelaskan seni dengan maksud kerja yang berkaitan dengan rasa jiwa manusia yang sesuai dengan fitrahnya. Seni adalah sesuatu yang bersifat abstrak, dapat dipandang, didengar dan disentuh oleh jiwa tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata dan bahasa. Eugene Johnson dalam 'The Encyclopedia Americana' menjelaskan seni (art) sebagai kemahiran, misalnya seni pertukangan yang membawa erti kemahiran pertukangan. Dari segi istilah ilmu berkebudayaan, ia membawa erti sebagai segala sesuatu yang indah. Keindahan yang dapat menggerakkan jiwa, kemesraan, menimbulkan keharuan, ketakjuban, kesenangan atau sebaliknya iaitu dendam, benci, cemas dan sebagainya.[1]

Drs. Sidi Gazalba dalam bukunya 'Pandangan Islam Tentang Kesenian' menjelaskan bahawa kesenian adalah sebahagian daripada kebudayaan yang dicetuskan oleh sesuatu kelompok manusia kerana setiap kelompok masyarakat mempunyai fitrah semulajadi yang cinta kepada seni yang menyenangkan hati melalui pancaindera yang lima.[2] Justeru, bersama kita susuri dan hayati bagaimanakah konsep dan keindahan kesenian didalam Islam.

 ***************************************************




KONSEP KESENIAN DALAM ISLAM 

   Seni adalah merupakan sesuatu yang elok, lembut, indah, senang didengar atau dilihat. Ini termasuklah seni tampak, seni lukis, seni suara dan sebagainya.[3]

Kesenian islam adalah salah satu kebudayaan islam yang berkonsepkan keindahan atau sesebuah karya yang dizahirkan melalui daya kreatif yang pelbagai dengan tujuan untuk membantu ‘memeriahkan’ kebesaran Allah s.w.t . Kesenian menurut perspektif islam adalah untuk membimbing manusia ke arah konsep tauhid dan pengabdian diri kepada Allah s.w.t dan mestilah bersifat "Al-Amar bil Ma'ruf dan An-Nahy 'an Munkar" (menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran).Berseni seharusnya meliputi aspek yang positif serta dapat membangunkan akhlak masyarakat, bukan membawa kemungkaran dan juga bukan sebagai perosak akhlak ummah. 

Seni juga boleh dibahagi dengan dua tujuan iaitu seni untuk seni dan seni untuk masyarakat, di mana seni untuk seni adalah bertujuan untuk seni sahaja dan orang mencipta seni ini dibebaskan untuk apa-apa tujuan sama ada mengandungi unsur baik atau jahat. Manakala seni untuk masyarakat pula  menyatakan bahawa seni dicipta untuk sesuatu tujuan maka ianya mestilah difahami oleh masyarakat yang digunakan untuk kemasyarakatan, politik dan akhlak.

Hakikatnya, pembangunan kesenian didalam islam mestilah bertunjangkan aspek-aspek akhlak, iman, matlamat keagamaan dan falsafah kehidupan manusia. Karya seni dalam islam adalah merupakan satu usaha dan perantaraan untuk menzahirkan keindahan islam dan kebesaran Allah serta menjadi alternatif medan dakwah yang ditundukkan kepada tujuan demi mencari keredhaan Allah s.w.t.

* *****************************************


FALSAFAH SENI DALAM  ISLAM

Seni itu indah dan keindahan itu adalah kesenian. Sebagaimana hadis Nabi S.A.W yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah itu maha Indah dan Dia sukakan keindahan.”[4]      
  
Keindahan merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah s.w.t lantas segala yang diciptakanNya juga merupakan pancaran keindahanNya.Sebagaimana manusia yang dijadikan sebagai makhluk yang paling indah dan paling sempurna. Allah menciptakan manusia dengan penuh keseniaan dari segi perbezaan rupa dan warna kulit. Bahkan, kesenian unggul dalam Islam sendiri terpancar pada Ummul Kitab (al-Quran) yang diturunkan sebagai panduan dan pedoman untuk semua umat manusia. Naskhah lengkap panduan hidup umat Islam merupakan seni yang tidak dapat ditangkis oleh mana-mana kesenian kerana ketinggian nilai budi, saranan akhlak juga peraturan hidup manusia.

Jika seni membawa seseorang itu kepada kelalaian dan melupakan Allah, maka seni itu telah lari dari prinsip islam yang sebenarnya. Oleh itu, setiap pencinta seni haruslah memahami maksud seni dalam islam. Motif seni dalam islam mestilah menjurus kepada yang makruf dan mengutamakan yang akhlak. Islam telah membuka ruang yang seluas-luasnya kepada para seniman untuk melahirkan pengucapan rasa keindahan dan pengalaman yang lahir dari naluri asasi manusia yang sememangnya menjurus ke arah keselamatan, kesenangan dan keindahan.

Seni pada asasnya tidak bertentangan dengan Islam. Apa yang menjadi isu sebenarnya adalah apabila ‘perlaksanaan tidak menghalalkan cara’. Atau secara jelasnya,bagaimana cara perlaksanaannya (cara seni itu dikendalikan dan dilaksanakan), adakah ianya dibenarkan dalam islam serta sejajar dengan tuntutan tauhid dan syara’. Sebagai contoh, seni suara misalnya, perlu dilihat dari aspek di mana dia menyanyi, bagaimana pemakaiannya-menutup aurat atau tidak- bagaimana seni katanya dan siapakah pula pendengarnya. Jika perlaksanaannya tidak bertentangan dengan prinsip islam, maka ia tidak dilarang.

Seorang pencinta seni harus mengetahui apa yang sesuai dengan Islam. Mana-mana yang bertentangan mestilah ditinggalkan. Motif berseni tidak seharusnya bermatlamatkan kepada hiburan, tujuan keduniaan ataupun keseronokan. Islam telah menggariskan kesenian sesuai mengikut naluri dan fitrah semulajadi manusia. Sewajarnyalah juga manusia mengemudi seni mengikut fitrah manusia yang sedia ada berbekalkan sempadan syariah demi kesejahteraan jiwa dan dunia manusia. Bahkan, sekiranya betul pembawaan seni itu, ianya dikira sebagai ibadah.

Walaubagaimanapun, setiap apa pun yang kita lakukan haruslah dengan penuh kesederhanaan. Ketaksuban yang melebihi batas terhadap sesuatu amat ditegah dalam islam. Ini kerana ia boleh mengundang kepada kemudharatan dan akhirnya menimbulkan syirik kepada Allah s.w.t. Sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas."

Bersesuaian dengan firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud: “Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kaum (umat Islam) umat yang pertengahan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.” .[5]
Ini kerana, sehebat manapun hasil kesenian ciptaan manusia, tiada apa pun yang dapat menandingi kehebatan dan kebesaran ciptaan serta kuasa Allah s.w.t. Kesenian adalah bertujuan untuk melahirkan rasa kagum akan kebesaran dan keindahan alam ciptaan Allah. Tujuan utama seni adalah menghubungkan manusia dengan tuhan, alam sekitar dan sesama manusia dan juga makhluk. Kerana itu, kita harus berhati-hati agar rasa takjub kita terhadap keindahan dunia tidak melebihi rasa takjub kita kepada kebesaran Allah s.w.t.


 ****************************************

PRINSIP SENI DALAM ISLAM
Seni secara ringkasnya dapat dibahagikan kepada empat bahagian utama :
a)      Seni melaui pendengaran seperti muzik, deklamasi puisi, prosa, seni suara dan sebagainya.
b)  Seni yang diperolehi melalui penglihatan mata seperti seni lukis, seni hias, seni bina, seni pakaian dan sebagainya.
c)  Seni yang dapat diperolehi melalui pendengaran dan penglihatan seperti drama, tablo, teater, filem dan sebagainya.
d)     Seni yang dinikmati melalui pembacaan seperti hasil karya sastera yang berbentuk puisi dan prosa.[6]

Untuk memastikan seni islam sejajar dengan tuntutan tauhid dan syara’. Prinsip-prinsip berikut haruslah dititikberatkan. Antaranya ialah:

1.  Seni haruslah memartabatkan akhlak islam
Selari dengan motif seni dalam islam yang menjurus kepada yang makruf dan mengutamakan yang akhlak. Sebagaimana yang telah diterangkan dalam konsep kesenian dalam islam, seni adalah untuk membimbing manusia ke arah konsep tauhid dan pengabdian diri kepada Allah s.w.t dan mestilah bersifat "Al-Amar bil Ma'ruf dan An-Nahy 'an Munkar" (menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran).
Bidang nyanyian khususnya, hakikatnya suara yang merdu dan indah adalah anugerah dari Allah buat hambaNya. Dan islam tidak melarang ummatnya untuk berhibur dengan keindahan seni suara selagimana ia tidak melanggar batas syariat. Keindahan suara yang merdu boleh dizahirkan dalam bentuk nasyid, qasidah dan taranum. Seni kata lagu atau nyanyian hendaklah mengandungi unsur nasihat dan pengajaran serta tidak melalaikan ataupun bertujuan untuk menarik perhatian semata-mata. Ramai orang pada masa kini berhibur bukan dengan cara sepatutnya. Menyanyi dalam keadaan yang tidak menutup aurat, menjaerit-jerit serta tidak menjaga batas pergaulan diantara lelaki dan wanita. Ini adalah merupakan sesuatu yang menyalahi prinsip kesenian dalam islam. Begitu juga dengan seni lakonan, ianya mampu menjadi medan dakwah  yang efektif sekiranya ia tidak melanggar batas-batas syariat seperti menjaga batas pergaulan, berpakaian menutup aurat seta berunsur nasihat dan islamik.

2. Meningkatkan nilai kemanusiaan
Dari segi istilah ilmu berkebudayaan, seni membawa erti sebagai segala sesuatu yang indah. Keindahan yang dapat menggerakkan jiwa, kemesraan, menimbulkan keharuan, ketakjuban, kesenangan atau sebaliknya iaitu dendam, benci, cemas dan sebagainya. Setiap ciptaan manusia adalah seni  yang lahir daripada cetusan ilham melalui pengamatan dan kajian kita tentang alam persekitaran. Kesenian ialah segala aktiviti yang berkaitan dengan seni yang menyenangkan hati serta perasaan manusia, tidak kira sama ada ia adalah ciptaan Allah s.w.t ataupun dihasilkan melalui fikiran, kemahiran, imaginasi dan perbuatan manusia.

Setiap hasil seni yang tercipta seharusnya memberi kemaslahatan kepada manusia dan kehidupan dan bukannya kemudharatan. Seperti seni lukis,seni ukir, seni hias, dan seni bina, ia adalah merupakan seni yang boleh dihayati dengan penglihatan mata. Keindahan hasil seni lukis, seni ukir dan seni hias mampu memukau pandangan mata dengan keindahan warna, ukiran dan hiasan yang dilkakukan. Namun jika ia disalah gunakan seperti melukis gambar lucah, atau mengukir benda yang bernyawa seperti patung manusia, atau pun haiwan sehingga menjadi benda yangg boleh mensyirikkan Allah, sudah pasti ianya adalah amat salah disisi islam. Islam mengutamakan ajaran tauhid yang asli kerana itu ia menghindar dari sebarang pencemaran syirik, maka penggunaan mitos serta lambang-lambang tertentu yang memesongkan inti tauhid adalah dilarang. Di dalam kesenian mukadas, bukan saja perutusan atau isinya sahaja yang mesti suci, bentuk atau salurannya juga mesti suci.  Lukisan atau karikatur yang berunsurkan hinaan, sindiran atau menyentuh sensitiviti keagamaan atau perkauman boleh menimbulkan dendam, dan pergaduhan. Maka sudah nyatalah perkara ini adalah sesuatu yang negatif dan boleh menimbulkan kemudharatan  kepada hubungan sesama manusia.
Sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Abbas bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Tidak mudharat dan tidak memudharatkan. (Riwayat Ibn Majah).

Justeru, jadikan seni sebagai sesuatu yang boleh menimbulkan kemaslahatan dan bukannya kemudharatan. Kerana setiap perkara yang boleh menimbulkan kemudharatan adalah dilarang dalam islam. Islam menggalakkan ummatnya agar mengetahkan konsep wasatiyah (kesederhanaan/pertengahan) dalam melakukan apa jua tindakan dan perbuatan. Membangunkan seni perlulah mengambil kira aspek-aspek seperti matlamat, akibat dan manfaat seni yang dilahirkan kepada alam dan manusia.

3. Seni Islam berdasarkan wahyu
Kesenian Islam terpancar daripada wahyu Allah, sama seperti undang-undang Allah dan SyariatNya. Maknanya ia harus berada di bawah lingkungan dan peraturan wahyu. Ini yang membezakan kesenian Islam dengan kesenian bukan Islam. Menjadikan Al-quran, hadis dan sunnah sebagai pegangan dan sumber rujukan utama dalam berseni. Islam itu adalah syumul (sempurna), setiap garis panduan yang telah ditetapkan dalam wahyu Allah iaitu al-quran adalah sempurna dan bersesuian  dengan fitrah manusia, pada semua tempat, dan zaman.

Dalam seni ukir khususnya, islam membenarkan ahli seni untuk membuat ukiran atau memahat bentuk-bentuk tidak bernyawa seperti pemandangan, tumbuhan, gunung-ganang dan sebagainya. Namun apa yang dilarang dalam islam ialah mengukir atau memahat bentuk-bentuk yang bernyawa contohnya seperti manusia atau haiwan kerana ianya boleh menjadi bahan yang boleh dipuja dan akhirnya menimbulkan syirik kepada Allah.
Pada zaman sekarang, menyimpan tangkal dan mempercayainya sebagai pelindung diri sudah menjadi perkara yang lazim dikalangan kita. Sebagai contoh, menyimpan keris lama atau cincin dan mempercayai bahawa benda itu boleh memberikan perlindungan dan menghindarkan diri daripada bala. Ini sudah jatuh kepada perkara syirik kerana mempercayai ada yang lebih berkuasa melainkan Allah s.w.t. Walhal, benda-benda tersebut adalah hasil daripada ciptaan tangan dan kesenian manusia juga. Ianya tidak mampu memberikan apa-apa kuasa mahupun kekuatan. Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang maha kuasa dan dapat memberi perlindungan kepada kita. Tiada apa yang mampu menandingi kekuasaannya dan dialah yang telah menciptakan sekalian alam. Sepertimana firman Allah dalam surah Ar-Rahman dari ayat 1-13 yang bermaksud:
(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya. [2] Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran. [3] Dia lah yang telah menciptakan manusia; - [4] Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan. [5] Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu;[6] Dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu-kayan, masing-masing tunduk menurut peraturanNya.[7] Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan, [8] Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan; [9] Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang. [10] Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain: [11]Terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma yang ada kelopak-kelopak mayang; [12] Demikian juga terdapat biji-bijian yang ada jerami serta daun, dan terdapat lagi bunga-bungaan yang harum; [13] Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?[7]
  
  **************************************

PERANAN SENI TERHADAP MANUSIAKesenian Dalam Islam

Dalam islam, seni sepatutnya dapat memberi kesan dalam jiwa manusia serta dapat menghubungkan hamba dengan penciptanya. Menimbulkan rasa kagum dengan kekuasaan dan keesaan Allah serta menyedari bahawa setiap keindahan yang ada dunia ini adalah datangnya dari kekuasaan Allah. Berseni adalah bakat dalam diri manusia, dan bakat itu adalah anugerah kurniaan Allah. Berikut adalah peranan seni kepada manusia :

1. Menggiatkan akal supaya menyedari dan menghayati kaitan antara seni dengan alam rohaniah dan alam fizikal dan seterusnya menyedarkan dirinya tentang keagungan Allah- Sayyid Hossein Nasr (dalam buku Spritual dan Seni Islam) memberi pandangan, dalam apa juga bidang sekalipun, seni Islam itu mestilah mempunyai fungsi spiritual yang dapat membimbing manusia supaya mengingati Allah s.w.t.. Dalam pandangannya itu beliau telah menegaskan:
“Seni itu tidak dapat memainkan suatu fungsi spiritual apabila ia tidak dihubungkan dengan bentuk dan kandungan wahyu Islam”[8]

Dalam seni lukis khususnya, seorang pelukis akan terkenang kepada bakat anugerah Allah pada dirinya iaitu dapat melukis dengan baik. Sebagai tanda rasa syukur dan menghargai kurniaanNya, dia menterjemahkannya melalui lukisan-lukisan yang berunsurkan keindahan alam ciptaan Allah. Jika lukisan itu tentang pandangan alam, maka ia akan berfikir bahawa alam yang indah ini pasti ada penciptanya. CiptaanNya terlalu indah dan agung hingga tidak dapat ditandingi dengan hasil kesenian manusia. Dengan wujudnya rasa rendah diri ini, maka setiap apa yang dihasilkan lahir dengan penuh tawadhuk dan merasakan bahawa setiap apa yang dihasilkan adalah merupakan ilham dari kebesaran Allah s.w.t.
Begitu juga dengan seni suara, Allah telah menganugerahkan seseorang itu dengan suara indah dan merdu. Kerana rasa syukur dengan kelebihan yang telah dianugerahkan, dia memanfaatkan suara yang indah tadi dengan laungan azan dan taranum yang dapat memukau setiap pendengar. Suara yang merdu pastinya dapat menimbulkan rasa tenang dan syahdu sekaligus dapat memberi kesan kepada jiwa untuk menghayati  kalimah Allah dan memahaminya disamping menyerlahkan keindahan kalamullah itu sendiri.

2. Membina kekhusyukan dan ketenangan jiwa- secara fitrahnya, manusia cenderung ke arah sesuatu yang indah dan seni. Sebagaimana yang telah dijelaskan, seni adalah merupakan sesuatu yang elok, lembut, indah, senang didengar atau dilihat.Kesenian islam seharusnya membawa nilai yang positif kepada kehidupan manusia.

Seni hias contohnya, menghias sesuatu benda atau tempat juga memerlukan kekreatifan dan daya pengamatan yang amat tinggi. Sebagai contoh, masjid dihiasi dengan warna, ukiran, dan tulisan khat yang indah serta pelbagai kemudahan seperti kipas, penghawa dingin serta taman-taman bagi mewujudkan rasa tenang,selesa dan khusyuk ketika menunaikan ibadah kepada Allah. Ini kerana masjid bukanlah hanya sekadar menjadi tempat untuk beribadah sahaja, tetapi ianya sering digunakan untuk melakukan aktiviti seperti musyawarah, kuliah, pusat rehlah bagi  keluarga serta pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Oleh itu, disamping seni bina yang indah, hiasan dan landskap yang menenangkan juga dapat menarik ramai orang untuk mengunjungi rumah Allah sekaligus dapat menjadi salah satu alternatif dakwah bagi menarik minat mereka yang bukan islam. Kerana itu islam menggalakkan agar para pencinta seni berseni untuk mayarakat dan agama dan bukannya seni hanya sekadar untuk seni sahaja.

Sebagaimana seni alunan suara yang merdu dan indah juga, segala alunan yang berbentuk pujian-pujian kepada Allah dan rasulnya sama ada zikir, qasidah atau pun nasyid, jika dialunkan dengan merdu dan indah pasti akan dapat menimbulkan rasa tenang dan khusyuk didalam jiwa. Kerana tiada apa yang lebih tenang selain daripada mengingati Allah s.w.t sebagaimana dalam firmanNya dalam surah Ar-Raad  ayat 28 yang bermaksud:
“Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu hati akan tenang.”[9]
   
3. Menanam rasa takwa kepada Allah melalui seni yang berpaksikan tauhid- pembangunan kesenian didalam islam mestilah bertunjangkan aspek-aspek akhlak, iman, matlamat keagamaan dan falsafah kehidupan manusia. Seni Islam dan pembawaannya haruslah menjurus ke arah konsep tauhid dan pengabdian kepada Allah swt serta berlandaskan Al-quran, hadis dan sunah Rasulullah s.a.w. Setiap apa pun yang kita lakukan adalah demi mencari keredhaan Allah s.w.t.

Seperti seni dalam fesyen baju muslimah. Konsep rekaan hendaklah menepati hukum syara’ dan tidak hanya bertujuan untuk mendapat keuntungan atau hanya sekadar seni untuk memuaskan hati masyarakat sahaja. Sekiranya para pencinta seni benar-benar menghayati tentang keindahan islam, sudah tentu dia akan mencipta sesuatu yang boleh membawa insan ke arah kebaikan serta boleh menghubungkan hamba kepada penciptanya. Fesyen baju muslimah sudah menjadi ‘trend’ dikalangan kaum hawa masa kini. Pelbagai jenis pakaian muslimah yang boleh kita lihat pada masa kini. Namun, jika hanya mementingkan kecantikan luaran sahaja sehingga meminggirkan hukum syara’-tidak menutup aurat dengan sempurna, ianya sudah salah disisi islam. Penampilan luaran mempengaruhi dalaman kita. Cantik bukan bermakna untuk menarik perhatian atau mendapat pujian, tapi kecantikan itu boleh menjadi satu ibadah sekiranya berlandaskan hukum islam dan demi mendapat keredhaan Allah. Seni dalam pakaian seharusnya dapat menyedarkan bahawa berpakaian bukan hanya sekadar ‘membungkus’ tubuh agar kelihatan cantik dipandangan mata manusia tetapi menyedarkan kita bahawa berpakaian kerana ingin menutup aurat dengan rasa tawadhuk sebagai seorang hamba agar sentiasa kelihatan cantik dihadapan Allah disamping untuk mendapat keredhaanNya.

4. Seni adalah sebagai satu proses pendidikan yang bersifat positif dan tidak lari daripada batas-batas syariat- Seni seharusnya dapat membimbing manusia kearah kehidupan yang lebih bertamadun dan beradab. Kesenian Islam tidak bermotifkan hiburan semata-mata malah ianya menjurus ke arah mentarbiah masyarakat menjadi insan yang beriman, berakhlak, berilmu dan beramal soleh. Oleh itu, sesuatu itu bukanlah dianggap seni sekiranya ia tidak dapat menjalankan fungsinya untuk membimbing manusia ke arah yang lebih baik dan mengingati Allah s.w.t.

Sebagai contoh, seni kaligrafi- seorang guru mengajar muridnya menulis tulisan jawi dan arab. Kemudian murid tersebut mengembangkan lagi bakatnya dengan mempelajari tulisan khat. Apabila mahir, dia memanfaatkan kemahiran keseniaannya dengan mengukir dan menulis tulisan khat pada dinding masjid sebagai hiasan. Kemudian menyumbangkan lagi bakatnya dalam penulisan ayat suci Al-Quran yang akhirnya boleh dibaca oleh seluruh ummat islam. Hasil daripada rantaian ilmu ini telah mengembangkan seni sebagai medan dakwah yang mampu mendidik manusia ke arah hidup yang lebih positif serta berbakti kepada agama. Bakat seni itu boleh diasah dan dibentuk, dan jika kena dengan acuan yang elok dan cantik maka eloklah jadinya dan jika tidak maka sebaliknya.



[3] Prof Madya Dr Mohd Yusuf Amad ,Open University Malaysia (OUM),MPW1143/2143- Pengajian Islam. Meteor Doc Sdn.Bhd:Selangor,2010 .

[5] Al-Quranul Karim, surah Al-Baqarah ayat 143.
[7] Al-Quranul Karim, Surah Ar-Rahman ayat 1-13.
[9] Al-Quranul Karim, Surah Ar-Raad ayat 28.

No comments:

Post a Comment