PENGENALAN
Secara
fitrahnya, didalam jiwa, perasaan dan keinginan manusia tertanamnya rasa
sukakan keindahan. Keindahan adalah merupakan satu kesenian, dan untuk
mentakrifkan seni itu secara tepat adalah sesukar untuk menerangkan konsep
keindahan dan kesenangan itu sendiri.
Islam
adalah merupakan sebuah agama yang indah dan sejahtera. Diturunkan oleh Allah
S.W.T kepada seluruh ummat manusia tanpa mengenal bangsa. Islam adalah agama
yang nyata (waqi’e) sesuai dengan fitrah manusia, pada semua tempat, zaman dan
situasi menepati citarasa, kehendak, sifat, keinginan, nafsu, perasaan dan akal
fikiran manusia. Al-Farabi menjelaskan seni sebagai ciptaan yang berbentuk
keindahan, Al-Ghazali pula menjelaskan seni dengan maksud kerja yang berkaitan
dengan rasa jiwa manusia yang sesuai dengan fitrahnya. Seni adalah sesuatu yang
bersifat abstrak, dapat dipandang, didengar dan disentuh oleh jiwa tetapi tidak
dapat dinyatakan melalui kata-kata dan bahasa. Eugene Johnson dalam 'The
Encyclopedia Americana' menjelaskan seni (art)
sebagai kemahiran, misalnya seni pertukangan yang membawa erti kemahiran
pertukangan. Dari segi istilah ilmu berkebudayaan, ia membawa erti sebagai
segala sesuatu yang indah. Keindahan yang dapat menggerakkan jiwa, kemesraan,
menimbulkan keharuan, ketakjuban, kesenangan atau sebaliknya iaitu dendam,
benci, cemas dan sebagainya.[1]
Drs. Sidi Gazalba dalam bukunya 'Pandangan
Islam Tentang Kesenian' menjelaskan bahawa kesenian adalah sebahagian daripada
kebudayaan yang dicetuskan oleh sesuatu kelompok manusia kerana setiap kelompok
masyarakat mempunyai fitrah semulajadi yang cinta kepada seni yang menyenangkan
hati melalui pancaindera yang lima.[2]
Justeru, bersama kita susuri dan hayati bagaimanakah konsep dan keindahan
kesenian didalam Islam.
KONSEP KESENIAN DALAM ISLAM
Seni adalah merupakan sesuatu yang elok,
lembut, indah, senang didengar atau dilihat. Ini termasuklah seni tampak, seni
lukis, seni suara dan sebagainya.[3]
Kesenian
islam adalah salah satu kebudayaan islam yang berkonsepkan keindahan atau
sesebuah karya yang dizahirkan melalui daya kreatif yang pelbagai dengan tujuan
untuk membantu ‘memeriahkan’ kebesaran Allah s.w.t . Kesenian menurut
perspektif islam adalah untuk membimbing manusia ke arah konsep tauhid dan
pengabdian diri kepada Allah s.w.t dan mestilah bersifat "Al-Amar bil Ma'ruf dan An-Nahy 'an Munkar"
(menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran).Berseni seharusnya meliputi
aspek yang positif serta dapat membangunkan akhlak masyarakat, bukan membawa
kemungkaran dan juga bukan sebagai perosak akhlak ummah.
Seni
juga boleh dibahagi dengan dua tujuan iaitu seni untuk seni dan seni untuk
masyarakat, di mana seni untuk seni adalah bertujuan untuk seni sahaja dan
orang mencipta seni ini dibebaskan untuk apa-apa tujuan sama ada mengandungi
unsur baik atau jahat. Manakala seni untuk masyarakat pula menyatakan bahawa seni dicipta untuk sesuatu
tujuan maka ianya mestilah difahami oleh masyarakat yang digunakan untuk
kemasyarakatan, politik dan akhlak.
Hakikatnya,
pembangunan kesenian didalam islam mestilah bertunjangkan aspek-aspek akhlak,
iman, matlamat keagamaan dan falsafah kehidupan manusia. Karya seni dalam islam
adalah merupakan satu usaha dan perantaraan untuk menzahirkan keindahan islam
dan kebesaran Allah serta menjadi alternatif medan dakwah yang ditundukkan
kepada tujuan demi mencari keredhaan Allah s.w.t.
* *****************************************
FALSAFAH SENI DALAM ISLAM
Seni
itu indah dan keindahan itu adalah kesenian. Sebagaimana hadis Nabi S.A.W yang
bermaksud:
“Sesungguhnya
Allah itu maha Indah dan Dia sukakan keindahan.”[4]
Keindahan
merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah s.w.t
lantas segala yang diciptakanNya juga merupakan pancaran keindahanNya.Sebagaimana
manusia yang dijadikan sebagai makhluk yang paling indah dan paling sempurna.
Allah menciptakan manusia dengan penuh keseniaan dari segi perbezaan rupa dan
warna kulit. Bahkan, kesenian unggul dalam Islam sendiri terpancar pada Ummul
Kitab (al-Quran) yang diturunkan sebagai panduan dan pedoman untuk semua umat
manusia. Naskhah lengkap panduan hidup umat Islam merupakan seni yang tidak
dapat ditangkis oleh mana-mana kesenian kerana ketinggian nilai budi, saranan
akhlak juga peraturan hidup manusia.
Jika
seni membawa seseorang itu kepada kelalaian dan melupakan Allah, maka seni itu
telah lari dari prinsip islam yang sebenarnya. Oleh itu, setiap pencinta seni
haruslah memahami maksud seni dalam islam. Motif seni dalam islam mestilah
menjurus kepada yang makruf dan mengutamakan yang akhlak. Islam telah membuka
ruang yang seluas-luasnya kepada para seniman untuk melahirkan pengucapan rasa
keindahan dan pengalaman yang lahir dari naluri asasi manusia yang sememangnya
menjurus ke arah keselamatan, kesenangan dan keindahan.
Seni
pada asasnya tidak bertentangan dengan Islam. Apa yang menjadi isu sebenarnya
adalah apabila ‘perlaksanaan tidak menghalalkan cara’. Atau secara
jelasnya,bagaimana cara perlaksanaannya (cara seni itu dikendalikan dan
dilaksanakan), adakah ianya dibenarkan dalam islam serta sejajar dengan
tuntutan tauhid dan syara’. Sebagai contoh, seni suara misalnya, perlu dilihat
dari aspek di mana dia menyanyi, bagaimana pemakaiannya-menutup aurat atau
tidak- bagaimana seni katanya dan siapakah pula pendengarnya. Jika
perlaksanaannya tidak bertentangan dengan prinsip islam, maka ia tidak
dilarang.
Seorang
pencinta seni harus mengetahui apa yang sesuai dengan Islam. Mana-mana yang
bertentangan mestilah ditinggalkan. Motif berseni tidak seharusnya
bermatlamatkan kepada hiburan, tujuan keduniaan ataupun keseronokan. Islam
telah menggariskan kesenian sesuai mengikut naluri dan fitrah semulajadi
manusia. Sewajarnyalah juga manusia mengemudi seni mengikut fitrah manusia yang
sedia ada berbekalkan sempadan syariah demi kesejahteraan jiwa dan dunia
manusia. Bahkan, sekiranya betul pembawaan seni itu, ianya dikira sebagai
ibadah.
Walaubagaimanapun,
setiap apa pun yang kita lakukan haruslah dengan penuh kesederhanaan.
Ketaksuban yang melebihi batas terhadap sesuatu amat ditegah dalam islam. Ini
kerana ia boleh mengundang kepada kemudharatan dan akhirnya menimbulkan syirik
kepada Allah s.w.t. Sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang yang melampaui batas."
Bersesuaian
dengan firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud: “Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan
kaum (umat Islam) umat yang pertengahan agar kamu menjadi saksi atas
(perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan)
kamu.” .[5]
Ini
kerana, sehebat manapun hasil kesenian ciptaan manusia, tiada apa pun yang
dapat menandingi kehebatan dan kebesaran ciptaan serta kuasa Allah s.w.t. Kesenian
adalah bertujuan untuk melahirkan rasa kagum akan kebesaran dan keindahan alam
ciptaan Allah. Tujuan
utama seni adalah menghubungkan manusia dengan tuhan, alam
sekitar dan sesama manusia dan juga makhluk. Kerana itu, kita harus
berhati-hati agar rasa takjub kita terhadap keindahan dunia tidak melebihi rasa
takjub kita kepada kebesaran Allah s.w.t.
****************************************
PRINSIP SENI DALAM ISLAM
Seni
secara ringkasnya dapat dibahagikan kepada empat bahagian utama :
a) Seni
melaui pendengaran seperti muzik, deklamasi puisi, prosa, seni suara dan
sebagainya.
b) Seni
yang diperolehi melalui penglihatan mata seperti seni lukis, seni hias, seni
bina, seni pakaian dan sebagainya.
c) Seni
yang dapat diperolehi melalui pendengaran dan penglihatan seperti drama, tablo,
teater, filem dan sebagainya.
d) Seni
yang dinikmati melalui pembacaan seperti hasil karya sastera yang berbentuk puisi
dan prosa.[6]
Untuk
memastikan seni islam sejajar dengan tuntutan tauhid dan syara’.
Prinsip-prinsip berikut haruslah dititikberatkan. Antaranya ialah:
1. Seni
haruslah memartabatkan akhlak islam
Selari
dengan motif seni dalam islam yang menjurus kepada yang makruf dan mengutamakan
yang akhlak. Sebagaimana yang telah diterangkan dalam konsep kesenian dalam
islam, seni adalah untuk membimbing manusia ke arah konsep tauhid dan
pengabdian diri kepada Allah s.w.t dan mestilah bersifat "Al-Amar bil
Ma'ruf dan An-Nahy 'an Munkar" (menyuruh berbuat baik dan mencegah
kemungkaran).
Bidang
nyanyian khususnya, hakikatnya suara yang merdu dan indah adalah anugerah dari
Allah buat hambaNya. Dan islam tidak melarang ummatnya untuk berhibur dengan
keindahan seni suara selagimana ia tidak melanggar batas syariat. Keindahan
suara yang merdu boleh dizahirkan dalam bentuk nasyid, qasidah dan taranum.
Seni kata lagu atau nyanyian hendaklah mengandungi unsur nasihat dan pengajaran
serta tidak melalaikan ataupun bertujuan untuk menarik perhatian semata-mata. Ramai
orang pada masa kini berhibur bukan dengan cara sepatutnya. Menyanyi dalam
keadaan yang tidak menutup aurat, menjaerit-jerit serta tidak menjaga batas
pergaulan diantara lelaki dan wanita. Ini adalah merupakan sesuatu yang
menyalahi prinsip kesenian dalam islam. Begitu juga dengan seni lakonan, ianya
mampu menjadi medan dakwah yang efektif
sekiranya ia tidak melanggar batas-batas syariat seperti menjaga batas
pergaulan, berpakaian menutup aurat seta berunsur nasihat dan islamik.
2.
Meningkatkan nilai kemanusiaan
Dari
segi istilah ilmu berkebudayaan, seni membawa erti sebagai segala sesuatu yang
indah. Keindahan yang dapat menggerakkan jiwa, kemesraan, menimbulkan keharuan,
ketakjuban, kesenangan atau sebaliknya iaitu dendam, benci, cemas dan
sebagainya. Setiap ciptaan manusia adalah seni
yang lahir daripada cetusan ilham melalui pengamatan dan kajian kita
tentang alam persekitaran. Kesenian ialah segala aktiviti yang berkaitan dengan
seni yang menyenangkan hati serta perasaan manusia, tidak kira sama ada ia
adalah ciptaan Allah s.w.t ataupun dihasilkan melalui fikiran, kemahiran,
imaginasi dan perbuatan manusia.
Setiap
hasil seni yang tercipta seharusnya memberi kemaslahatan kepada manusia dan
kehidupan dan bukannya kemudharatan. Seperti seni lukis,seni ukir, seni hias,
dan seni bina, ia adalah merupakan seni yang boleh dihayati dengan penglihatan
mata. Keindahan hasil seni lukis, seni ukir dan seni hias mampu memukau
pandangan mata dengan keindahan warna, ukiran dan hiasan yang dilkakukan. Namun
jika ia disalah gunakan seperti melukis gambar lucah, atau mengukir benda yang
bernyawa seperti patung manusia, atau pun haiwan sehingga menjadi benda yangg
boleh mensyirikkan Allah, sudah pasti ianya adalah amat salah disisi islam.
Islam
mengutamakan ajaran tauhid yang asli kerana itu ia menghindar dari sebarang
pencemaran syirik, maka penggunaan mitos serta lambang-lambang tertentu yang
memesongkan inti tauhid adalah dilarang. Di dalam kesenian mukadas, bukan saja
perutusan atau isinya sahaja yang mesti suci, bentuk atau salurannya juga mesti
suci. Lukisan atau karikatur yang
berunsurkan hinaan, sindiran atau menyentuh sensitiviti keagamaan atau
perkauman boleh menimbulkan dendam, dan pergaduhan. Maka sudah nyatalah perkara
ini adalah sesuatu yang negatif dan boleh menimbulkan kemudharatan kepada hubungan sesama manusia.
Sebagaimana
diriwayatkan oleh Ibn Abbas bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Tidak mudharat dan tidak
memudharatkan. (Riwayat Ibn Majah).
Justeru,
jadikan seni sebagai sesuatu yang boleh menimbulkan kemaslahatan dan bukannya
kemudharatan. Kerana setiap perkara yang boleh menimbulkan kemudharatan adalah
dilarang dalam islam. Islam menggalakkan ummatnya agar mengetahkan konsep wasatiyah (kesederhanaan/pertengahan)
dalam melakukan apa jua tindakan dan perbuatan. Membangunkan seni perlulah
mengambil kira aspek-aspek seperti matlamat, akibat dan manfaat seni yang
dilahirkan kepada alam dan manusia.
3.
Seni Islam berdasarkan wahyu
Kesenian
Islam terpancar daripada wahyu Allah, sama seperti undang-undang Allah dan
SyariatNya. Maknanya ia harus berada di bawah lingkungan dan peraturan wahyu.
Ini yang membezakan kesenian Islam dengan kesenian bukan Islam. Menjadikan
Al-quran, hadis dan sunnah sebagai pegangan dan sumber rujukan utama dalam
berseni. Islam itu adalah syumul (sempurna),
setiap garis panduan yang telah ditetapkan dalam wahyu Allah iaitu al-quran
adalah sempurna dan bersesuian dengan
fitrah manusia, pada semua tempat, dan zaman.
Dalam
seni ukir khususnya, islam membenarkan ahli seni untuk membuat ukiran atau
memahat bentuk-bentuk tidak bernyawa seperti pemandangan, tumbuhan,
gunung-ganang dan sebagainya. Namun apa yang dilarang dalam islam ialah mengukir
atau memahat bentuk-bentuk yang bernyawa contohnya seperti manusia atau haiwan
kerana ianya boleh menjadi bahan yang boleh dipuja dan akhirnya menimbulkan
syirik kepada Allah.
Pada
zaman sekarang, menyimpan tangkal dan mempercayainya sebagai pelindung diri
sudah menjadi perkara yang lazim dikalangan kita. Sebagai contoh, menyimpan
keris lama atau cincin dan mempercayai bahawa benda itu boleh memberikan
perlindungan dan menghindarkan diri daripada bala. Ini sudah jatuh kepada
perkara syirik kerana mempercayai ada yang lebih berkuasa melainkan Allah
s.w.t. Walhal, benda-benda tersebut adalah hasil daripada ciptaan tangan dan
kesenian manusia juga. Ianya tidak mampu memberikan apa-apa kuasa mahupun
kekuatan. Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang maha kuasa dan dapat memberi
perlindungan kepada kita. Tiada apa yang mampu menandingi kekuasaannya dan
dialah yang telah menciptakan sekalian alam. Sepertimana firman Allah dalam
surah Ar-Rahman dari ayat 1-13 yang bermaksud:
(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta
melimpah-limpah rahmatNya. [2] Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran. [3] Dia
lah yang telah menciptakan manusia; - [4] Dia lah yang telah membolehkan
manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan. [5] Matahari dan bulan
beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu;[6] Dan tumbuh-tumbuhan
yang melata serta pohon-pohon kayu-kayan, masing-masing tunduk menurut
peraturanNya.[7] Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Ia mengadakan
undang-undang dan peraturan neraca keadilan, [8] Supaya kamu tidak melampaui
batas dalam menjalankan keadilan; [9] Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan
adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang. [10] Dan bumi pula
dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain: [11]Terdapat
padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma yang ada
kelopak-kelopak mayang; [12] Demikian juga terdapat biji-bijian yang ada jerami
serta daun, dan terdapat lagi bunga-bungaan yang harum; [13] Maka yang mana satu di antara
nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan
jin)?[7]
**************************************
PERANAN SENI TERHADAP MANUSIAKesenian Dalam Islam
Dalam
islam, seni sepatutnya dapat memberi kesan dalam jiwa manusia serta dapat
menghubungkan hamba dengan penciptanya. Menimbulkan rasa kagum dengan kekuasaan
dan keesaan Allah serta menyedari bahawa setiap keindahan yang ada dunia ini adalah
datangnya dari kekuasaan Allah. Berseni adalah bakat dalam diri manusia, dan
bakat itu adalah anugerah kurniaan Allah. Berikut adalah peranan seni kepada
manusia :
1. Menggiatkan akal supaya menyedari
dan menghayati kaitan antara seni dengan alam rohaniah dan alam fizikal dan
seterusnya menyedarkan dirinya tentang keagungan Allah-
Sayyid Hossein Nasr (dalam buku Spritual dan Seni Islam) memberi pandangan,
dalam apa juga bidang sekalipun, seni Islam itu mestilah mempunyai fungsi
spiritual yang dapat membimbing manusia supaya mengingati Allah s.w.t.. Dalam
pandangannya itu beliau telah menegaskan:
“Seni itu tidak dapat memainkan
suatu fungsi spiritual apabila ia tidak dihubungkan dengan bentuk dan kandungan
wahyu Islam”[8]
Dalam
seni lukis khususnya, seorang pelukis akan terkenang kepada bakat anugerah
Allah pada dirinya iaitu dapat melukis dengan baik. Sebagai tanda rasa syukur
dan menghargai kurniaanNya, dia menterjemahkannya melalui lukisan-lukisan yang
berunsurkan keindahan alam ciptaan Allah. Jika lukisan itu tentang pandangan
alam, maka ia akan berfikir bahawa alam yang indah ini pasti ada penciptanya.
CiptaanNya terlalu indah dan agung hingga tidak dapat ditandingi dengan hasil
kesenian manusia. Dengan wujudnya rasa rendah diri ini, maka setiap apa yang dihasilkan
lahir dengan penuh tawadhuk dan merasakan bahawa setiap apa yang dihasilkan
adalah merupakan ilham dari kebesaran Allah s.w.t.
Begitu
juga dengan seni suara, Allah telah menganugerahkan seseorang itu dengan suara
indah dan merdu. Kerana rasa syukur dengan kelebihan yang telah dianugerahkan,
dia memanfaatkan suara yang indah tadi dengan laungan azan dan taranum yang
dapat memukau setiap pendengar. Suara yang merdu pastinya dapat menimbulkan
rasa tenang dan syahdu sekaligus dapat memberi kesan kepada jiwa untuk
menghayati kalimah Allah dan memahaminya
disamping menyerlahkan keindahan kalamullah itu sendiri.
2. Membina kekhusyukan dan ketenangan
jiwa-
secara fitrahnya, manusia cenderung ke arah sesuatu yang indah dan seni. Sebagaimana
yang telah dijelaskan, seni adalah merupakan sesuatu yang elok, lembut, indah,
senang didengar atau dilihat.Kesenian islam seharusnya membawa nilai yang
positif kepada kehidupan manusia.
Seni
hias contohnya, menghias sesuatu benda atau tempat juga memerlukan kekreatifan
dan daya pengamatan yang amat tinggi. Sebagai contoh, masjid dihiasi dengan
warna, ukiran, dan tulisan khat yang indah serta pelbagai kemudahan seperti
kipas, penghawa dingin serta taman-taman bagi mewujudkan rasa tenang,selesa dan
khusyuk ketika menunaikan ibadah kepada Allah. Ini kerana masjid bukanlah hanya
sekadar menjadi tempat untuk beribadah sahaja, tetapi ianya sering digunakan
untuk melakukan aktiviti seperti musyawarah, kuliah, pusat rehlah bagi keluarga serta pelbagai aktiviti yang
bermanfaat. Oleh itu, disamping seni bina yang indah, hiasan dan landskap yang
menenangkan juga dapat menarik ramai orang untuk mengunjungi rumah Allah
sekaligus dapat menjadi salah satu alternatif dakwah bagi menarik minat mereka
yang bukan islam. Kerana itu islam menggalakkan agar para pencinta seni berseni
untuk mayarakat dan agama dan bukannya seni hanya sekadar untuk seni sahaja.
Sebagaimana
seni alunan suara yang merdu dan indah juga, segala alunan yang berbentuk
pujian-pujian kepada Allah dan rasulnya sama ada zikir, qasidah atau pun
nasyid, jika dialunkan dengan merdu dan indah pasti akan dapat menimbulkan rasa
tenang dan khusyuk didalam jiwa. Kerana tiada apa yang lebih tenang selain
daripada mengingati Allah s.w.t sebagaimana dalam firmanNya dalam surah
Ar-Raad ayat 28 yang bermaksud:
“Ketahuilah bahawa dengan
mengingati Allah itu hati akan tenang.”[9]
3. Menanam rasa takwa kepada Allah melalui
seni yang berpaksikan tauhid- pembangunan kesenian
didalam islam mestilah bertunjangkan aspek-aspek akhlak, iman, matlamat
keagamaan dan falsafah kehidupan manusia. Seni Islam dan pembawaannya haruslah
menjurus ke arah konsep tauhid dan pengabdian kepada Allah swt serta
berlandaskan Al-quran, hadis dan sunah Rasulullah s.a.w. Setiap apa pun yang
kita lakukan adalah demi mencari keredhaan Allah s.w.t.
Seperti
seni dalam fesyen baju muslimah. Konsep rekaan hendaklah menepati hukum syara’
dan tidak hanya bertujuan untuk mendapat keuntungan atau hanya sekadar seni
untuk memuaskan hati masyarakat sahaja. Sekiranya para pencinta seni
benar-benar menghayati tentang keindahan islam, sudah tentu dia akan mencipta
sesuatu yang boleh membawa insan ke arah kebaikan serta boleh menghubungkan
hamba kepada penciptanya. Fesyen baju muslimah sudah menjadi ‘trend’ dikalangan
kaum hawa masa kini. Pelbagai jenis pakaian muslimah yang boleh kita lihat pada
masa kini. Namun, jika hanya mementingkan kecantikan luaran sahaja sehingga
meminggirkan hukum syara’-tidak menutup aurat dengan sempurna, ianya sudah
salah disisi islam. Penampilan luaran mempengaruhi dalaman kita. Cantik bukan
bermakna untuk menarik perhatian atau mendapat pujian, tapi kecantikan itu
boleh menjadi satu ibadah sekiranya berlandaskan hukum islam dan demi mendapat
keredhaan Allah. Seni dalam pakaian seharusnya dapat menyedarkan bahawa
berpakaian bukan hanya sekadar ‘membungkus’ tubuh agar kelihatan cantik
dipandangan mata manusia tetapi menyedarkan kita bahawa berpakaian kerana ingin
menutup aurat dengan rasa tawadhuk sebagai seorang hamba agar sentiasa kelihatan
cantik dihadapan Allah disamping untuk mendapat keredhaanNya.
4. Seni adalah sebagai satu proses
pendidikan yang bersifat positif dan tidak lari daripada batas-batas syariat-
Seni seharusnya dapat membimbing manusia kearah kehidupan yang lebih bertamadun
dan beradab. Kesenian Islam tidak bermotifkan hiburan semata-mata malah ianya
menjurus ke arah mentarbiah masyarakat menjadi insan yang beriman, berakhlak,
berilmu dan beramal soleh. Oleh itu, sesuatu itu bukanlah dianggap seni
sekiranya ia tidak dapat menjalankan fungsinya untuk membimbing manusia ke arah
yang lebih baik dan mengingati Allah s.w.t.
Sebagai
contoh, seni kaligrafi- seorang guru mengajar muridnya menulis tulisan jawi dan
arab. Kemudian murid tersebut mengembangkan lagi bakatnya dengan mempelajari
tulisan khat. Apabila mahir, dia memanfaatkan kemahiran keseniaannya dengan
mengukir dan menulis tulisan khat pada dinding masjid sebagai hiasan. Kemudian
menyumbangkan lagi bakatnya dalam penulisan ayat suci Al-Quran yang akhirnya
boleh dibaca oleh seluruh ummat islam. Hasil daripada rantaian ilmu ini telah
mengembangkan seni sebagai medan dakwah yang mampu mendidik manusia ke arah hidup
yang lebih positif serta berbakti kepada agama. Bakat seni itu boleh diasah dan
dibentuk, dan jika kena dengan acuan yang elok dan cantik maka eloklah jadinya
dan jika tidak maka sebaliknya.
No comments:
Post a Comment