Wednesday, 13 March 2013

Akibat pengabaian Syariah dalam kehidupan


3.1 AKIBAT MENGABAIKAN SYARIAH DALAM KEHIDUPAN.

Makna asal syariah ialah satu aliran air (al-Zubaidi, 1306H). Seperti air yang menjadi sumber kehidupan, syariah Islam juga bertindak sebagai sumber kehidupan sosial yang teratur dan harmoni (Muhammad Abdul Rauf, 1994). Akibat dari pengabaian syariah, pelbagai masalah telah timbul dan mennyebabkan Islam hanya sekadar Islam pada nama namun penghayatannya tidak ada. Antara masalah yang menjadi isu pada masa kini adalah seperti pergaulan bebas dan zina yang berleluasa, riba, isu murtad dan pelbagai lagi. Kesemua masalah ini boleh dibahagikan dalam beberapa kumpulan yang khusus mengikut ilmu syariah antaranya ialah tauhid, Ibadat, Munakahat, Muamalat, Jinayat , Akhlak dan Tasawuf. Antara isu semasa yang sering berlaku akibat dari pengabaian syariah pada masa kini ialah:

3.1.1. Isu berkaitan bab Munakahat :
Manusia akan menghadapi berbagai kepincangan sekiranya pergaulan lelaki dan wanita tidak diatur dan disusun mengikut peraturan tertentu. Tujuan perkahwinan ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya dapat mewujudkan suasana kasih sayang yang memperindahkan kehidupan. Tanpa penyusunan yang rapi di dalam pergaulan di antara lelaki dan wanita, kepincangan tidak dapat dielakkan. Kerana itu, perkahwinan disyariatkan.

Namun, lewat kini, kita sering mendengar pelbagai isu seperti kahwin lari, cerai, pengabaian nafkah dan sebagainya di dalam masyarakat kita. Persoalannya, mengapakah perkara-perkara seperti ini berlaku dalam kehidupan  masyarakat kita?? Islam mensyariatkan perkahwinan kepada ummatnya agar dapat mewujudkan ketenteraman dan ketenangan di antara lelaki dan perempuan. Menghubungkan silaturahim dan mewujudkan kasih sayang sesama insan. Namun apa yang kita lihat pada zaman sekarang adalah keruntuhan rumahtangga yang kian berleluasa.Ini adalah berpunca daripada pengabaian syariah dalam kehidupan. Sekiranya kita benar-benar menghayati konsep perkahwinan didalam Islam, pasti keluarga sakinah dapat dibina dan perceraian akan dapat dielakkan. Sebagai contoh, isu kahwin lari khususnya, dalam Islam terdapat peraturan-peraturan syariat yang  perlu dan wajib kita patuhi untuk melaksanakan sebuah perkahwinan.  Istilah ‘kahwin lari’ bukannya bermaksud berkahwin sambil berlari tetapi ia merujuk kepada pernikahan yang dijalani oleh pasangan dalam keadaan mereka melarikan diri daripada prosedur biasa Mahkamah Syariah. Biasanya mereka lari ke negara jiran untuk bernikah secara mudah. Antara punca utamanya ialah:

a)      Mereka mahu berpoligami tetapi tidak dapat melepasi syarat-syarat yang dikenakan oleh undang-undang dan (atau) tidak mahu perkahwinan tersebut diketahui oleh isteri pertama.
b)      Pilihan mereka tidak direstui oleh orang tua.[1]

Kahwin lari menimbulkan pelbagai kesan negatif berbanding positif bagi pasangan yang memilih jalan singkat seperti ini. Antara kesan yang biasa kita lihat dan dengar ialah, perpecahan keluarga dan memutuskan silaturrahim. Di antara matlamat perkahwinan itu sendiri adalah untuk mencapai kebahagiaan, ketenangan dan mengeratkan dua buah keluarga. Oleh itu, kahwin lari adalah dilarang kerana dikhuatiri akan berlaku perpecahan dalam kedua-dua belah pihak keluarga. Di samping itu, ia tidak mengikuti sunnah Rasulullah SAW yang mensyariatkan perkahwinan bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim dan melahirkan kegembiraan semua pihak yang terlibat. Sepertimana yang dinyatakan dalam surah Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud:

'Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan di antara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir. '
(Ar-Ruum:21)[2]

3.1.2. Isu berkaitan bab Akhlak :
Kita sering dikejutkan dengan pelbagai isu di dada-dada akhbar yang berkitan dengan gejala sosial pada masa kini antaranya, pelacuran, pembuangan bayi, khalwat, ragut, dan sebagainya. Dan apa yang lebih meruncingkan lagi adalah, perkara-perkara ini secara umumnya melibatkan remaja-remaja dan golongan belia masa kini. Keruntuhan akhlak atau disebut juga sebagai dekadensi moral bukan satu permasalahan baru dalam masyarakat di negara kita malah dimana-mana Negara sekalipun. Negara kita hari ini sedang menghadapi masalah kegawatan akhlak yang teruk yang sekiranya tidak di ambil serius sejak awal  akan memberi implikasi terhadap masa depan agama dan umat Islam secara keseluruhannya.Antara masalah akhlak yang sedang berlangsung di Negara ini ialah masalah kerenggangan sosial,ketagihan dadah,seks bebas,lari dari rumah,sumbang mahram,individualistik,materialistik,dan rasuah.

Isu pembuangan bayi khususnya, perkara ini sudah menjadi sesuatu yang lazim dalam masyarakat kita. Saban hari, kita dapat memperoleh berita tentang bayi dijumpai di dalam tandas awam,di tepi longkang,dan lain –lain tempat lagi tanpa ada perasaan perikemanusiaan dalam kalangan remaja. “Untuk tahun 2012 sahaja [sehingga jun] statistik pembuangan bayi adalah sebanyak 31 kes”, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Harjeet Singh.[3]  Antara punca utama berlakunya kes seperti ini adalah disebabkan pergaulan bebas yang tidak terkawal dan kurangnya tentang didikan agama dan moral. Kerana itu, dalam syariat Islam amat ditegaskan mengenai batas pergaulan (ikhtilat) diantara lelaki dan perempuan bagi menjaga kehormatan dan maruah diri sepertimana yang diterangkan dalam ayat Al-quran yang bermaksud:

“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan Yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. oleh itu janganlah kamu berkata-kata Dengan lembut manja (semasa bercakap Dengan lelaki asing) kerana Yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang Yang ada penyakit Dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).”                                                                          (Al-Ahzaab : 32)[4]

Sepertimana yang diterangkan dalam hadis-hadis berikut juga:

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana sesungguhnya yang ketiga itu tentulah syaitan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya jika kepala seseorang dari kamu ditikam dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya.”[5]
Islam juga turut meletakkan garis panduan agar mengasingkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan sejak dari kecil lagi sepertimana dalam sabda Rasulullah s.a.w yang berkmaksud:

“Perintah anak kamu bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun, jika mereka tidak melakukannya sehingga umur 10 tahun, pukul mereka, dan pisahkan juga diantara mereka ( lelaki dan perempuan) dari tempat tidur”. ( Riwayat Al-hakim dan Abu Daud )[6]

Tujuan Rasulullah s.a.w menganjurkan perintah  ini adalah untuk mendidik anak-anak mengenai batas pergaulan antara ahli keluarga supaya tidak berlaku perkara negatif seperti sumbang mahram.

3.1.4. Isu berkaitan bab Muamalat:
Muamamalat adalah semua hukum syariat yang bersangkutan dengan urusan dunia,dengan memandang kepada aktiviti hidup seseorang seperti jual-beli, tukar-menukar, pinjam-meminjam dan sebagainya. Muamalat juga merupakan tatacara atau peraturan dalam perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing yang berlandaskan syariat Allah s.w.t yang melibatkan bidang ekonomi dan sosial Islam .
Walaubagaimanapun, ramai dikalangan peniaga masa kini yang sering mengabaikan keutamaan syariah dalam menjalankan perniagaan. Ada yang lebih mengutamakan keuntungan berbanding kualiti barangan serta kehalalannya dan perkhidmatan dalam perniagaan. Sebagai contoh, menjual barangan yang tidak pasti sejauh mana kehalalannya dan siapa pihak pengeluarnya kepada pengguna. Sebagai seorang muslim, seharusnya kita mengutamakan yang halal dan sebolehnya menjauhi perkara yang haram dan syubhah. Harta-harta yang berkat itu adalah harta yang halal dan baik, kerana sesuatu yang diambil dari yang tidak halal dan tidak baik tidak mungkin mampu mendorong seseorang kepada melakukan kebaikan sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain. Sebagaimana Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram maka api nerakalah yang layak baginya.
Selain itu, antara perkara yang sering menjadi isu pada masa kini juga adalah perkara yang berkaitan dengan riba. Riba dalam pelbagai bentuknya adalah sangat dilarang dalam Islam kerana ia menjadi punca kepada penindasan dan ketidaksamaan dalam ekonomi. la boleh mewujudkan keadaan orang yang kaya menjadi bertambah kaya dan orang miskin menjadi bertambah miskin.[7] Larangan terhadap amalan riba ini disebut dalam banyak ayat al-Quran. Antara ayat-ayat yang berkaitan adalah seperti berikut maksudnya:
“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu, sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”.
(Al-Baqarah, 2:275)[8]


4.1 KAEDAH MENANGANI PERMASALAHAN SYARIAH

1.      Isu berkaitkan bab Munakahat
Insititut kekeluargaan adalah merupakan satu perkara yang penting dalam Islam. Keharmonian sesebuah rumahtangga adalah bergantung dengan bagaimana cara pengendalian dan perlaksanaan hukum Islam didalamnya bagi mewujudkan sebuah keluarga yang sakinah dan bahagia mengikut corak Islam. Walubagimanapun, lewat kini kita sering menghadapi isu rumahtangga seperti perceraian, kahwin lari dan sebagainya. Bagi menangani perkara ini, pelbagai langkah yang boleh kita ambil dan telah diusahakan antaranya:

-          Rundingcara: Pada hakikatnya Islam telah menganjurkan prinsip-prinsip tertentu untuk membentuk, mengekal dan memperbaiki sesebuah rumah tangga. Tetapi dari segi tekniknya atau pendekatannya hendaklah disesuaikan dengan keadaan semasa. Rundingan di dalam bidang kekeluargaan amat diperlukan pada tiga peringkat berdasarkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Sebagai contoh, Rundingcara apabila berlaku konflik rumah tangga khususnya, Dalam istilah fiqh terdapat perkataan “Nusyuz”. Nusyuz bermakna keadaan di mana suami atau isteri enggan menunaikan kewajipannya sebagaimana yang dituntut oleh syara’. Terdapat arahan yang jelas berhubung dengan sikap seorang isteri yang enggan taat kepada suaminya.

Langkah awal yang mesti dilakukan terhadap isteri ialah dengan menasihatinya. Kedua, jika nusyuznya masih berterusan meskipun telah dinasihati maka suami boleh meninggalkan tempat tidur dengan isteri.Ketiga, pihak suami boleh memukul isterinya, pukulan sekadar mengajar dan bukan pada tempat yang sensitif seperti di muka. Sebaliknya jika pihak suami yang nusyuz maka isteri hendaklah mengadu kepada Qadi. Apabila nusyuz berlaku sehingga ke peringkat yang paling sengit maka ianya dikenali sebagai “Shiqaq”. Apabila berlaku shiqaq maka terdapat satu institusi pendamai yang dianjurkan oleh Islam yang dikenali sebagai “Hakim”. Islam menganjurkan supaya dilantik seorang hakim mewakili pihak suami dan seorang hakim mewakili pihak isteri.[9]

-          Kursus pra perkahwinan: Bagi menyedarkan remaja dan muda mudi tentang tujuan sebenar perkahwinan, anjuran kursus perkahwinan sering diadakan khususnya di institut pengajian IPTA/IPTS.  Tujuannya adalah untuk memberi kesedaran kepada para belia tentang matlamat sebenar sebuah perkahwinan didalam Islam serta peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan didalamnya. Ini kerana, kita sering mendengar kes seperti remaja kahwin lari, perceraian disebabkan kurangnya ilmu mengenai rumatahtangga serta pengabaian tanggungjawab seorang suami dan isteri. Dengan adanya kaedah kursus pra perkahwinan ini, para belia dapat didedahkan tentang kepentingan menjaga keharmonian rumahtangga, peranan sebagai seorang anak-isteri-suami serta perkara yang haram dan halal dilakukan apabila mendirikan rumahtangga.

2.      Isu berkaitan akhlak
Pada masa kini, kita sering mendengar permasalahan yang berkaitan  dengan keruntuhan akhlak remaja muda mudi masa kini. Keadaan ini semakin meruncing dan merisaukan dan sekiranya tidak ditangani, boleh menyebabkan kesan yang amat buruk dimasa akan datang. Ini keran, remaja masa kini adalah pemangkin dan peneraju kepada kepimpinan masa hadapan. Sekiranya akhlak dan sahsiah mereka terus merundum jatuh, dikhuatiri kita akan kehilangan pemimpin yang benar mampu mebimbing kita ke arah yang lebih terjamin dengan mengamalkan kehidupan Islam dimasa mendatang. Antara kaedah yang boleh dan telah diambil pada masa kini ialah:

-          Ibu bapa sebagai peranan utama: Ibu bapa harus mengambil berat tentang pergaulan anak-anak mereka. Sekali-sekala ibu bapa perlu menyiasat apakah yang dilakukan oleh anak mereka semasa berada di luar rumah. Terangkan kepada anak-anak atau pelajar-pelajar mengenai keburukan dan akibat pergaulan bebas menerusi kaunseling dan ceramah. Terangkan kepada mereka mengenai keburukan seks rambang dan penyakit-penyakit yang disebabkan oleh aktiviti seksual seperti AIDS. Persekitaran dan cara didikan didalam sesebuah keluarga mempengaruhi akhlak dan peribadi anak-anak. Mungkin kita mampu untuk memenuhi keinginan anak-anak tetapi kita sering alpa apa yang diperlukan oleh mereka iaitu perhatian,pelukan dan kasih sayang kerana keinginan dan kepreluan adalah merupakan dua perkara yang berbeza. Oleh itu, ibu bapa seharusnya menjadi contoh yang terbaik kepada anak-anak agar kehidupan yang positif dapat diterapkan dalam diri mereka secara tidak langsung. Aspek yang paling penting adalah dengan menerapkan dan mencorakkan anak-anak dengan nilai-nila kebaikan dan cara hidup islam sejak dari mereka dilahirkan lagi. Ibu bapa yang baik lebih mementingkan  kasih sayang, mendidik pekerti mulia dan memberi perhatian kepada anak sebagai bekalan meneruskan kehidupan yang penuh pancaroba ini kerana anak-anak bukanlah hak tetapi amanah yang diberikan daripada Allah s.w.t dan perlu dididik dan dijaga sebaiknya.

-          Mengadakan kempen solat dan motivasi bagi golongan Muslim: Memandangkan gejala ini dihadapi kebanyakan daripada golongan Melayu, maka satu pendekatan keislaman haruslah diambil bagi menangani masalah ini. Sekiranya penyakit ini dapat diubati dalam komuniti Islam, hal ini secara tidak langsung akan mempengaruhi komuniti bukan Islam untuk turut menyelesaikan masalah dalam komuniti bukan Islam. Solat merupakan tiang agama. Remaja mampu dicegah daripada melakukan perkara-perkara munkar dengan mendirikan solat. Solat juga mampu membentuk peribadi individu serta membentuk masyarakat serta komuniti Islam yang sempurna. Selain itu, seminar motivasi juga dapat membantu dalam meneutralkan kembali emosi dan fikiran anak-anak yang tercemar dengan gejala negatif. Walau sejauh manapun mereka telah tersasar dari landasan hidup, namun mereka masih ada peluang untuk berpatah balik dan memperbetulkan kesilapan mereka. Cuma apa yang mereka perlukan adalah bimbingan dan motivasi daripada kita dan sokongan moral dari pada masyarakat dan keluarga utamanya. Kempen dan seminar ini boleh dilaksanakan disekolah-sekolan ataupun badan-badan  NGO tertentu.

  
3.      Isu berkaitan bab Muamalat:
Bagi menangani berlakunya perkara syubhah dan penjualan barangan yang tidak halal, pelbagai kaedah yang telah diusahakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Antara usaha yang dilakukan ialah:

-          Mengiklankan barangan yang tidak halal: Bagi mengatasi isu ini, pihak JAKIM telah menjalankan tinjauan ke syarikat atau agensi pembuatan makanan bagi memastikan sumber dan proses sepanjang pembuatan makanan tersebut adalah dijamin bersih dan halal. Pihak JAKIM juga turut mengkaji setiap kandungan produk yang diimport ke dalam negara kerana dikhuatiri terdapat unsur yang tidak halal dalam pembuatan makanan tersebut contohnya penggunaan gelatin ( lemak khinzir) ataupun campuran arak dalam makanan.  Meskipun kebanyakan makanan ada yang mempunyai logo halal, namun tidak dapat diayakini sejauh mana kehalalanya. Oleh iut, pihak JAKIM telah menetapkan setiap makanan yang dikeluarkan oleh mana-mana pinak pengeluar ataupun diimport hendaklah mendapat pengesahan dan logo halal daripada pihak JAKIM berdasarkan prosedur dan kajian yang terperinci. Dan setiap makanan yang diragui hendaklah dijauhi bagi mengelakkan berlakunya syubhah. Pihak JAKIM juga turut mengeluarkan dan mengiklankan senarai barangan yang tdak halal kepada masyarakat sebagai langkah berhati-hati semasa membeli makanan atau produk dipasaran.

-          Rancangan televisyen- Bagi mendedahkan kepada masyarakat mengenai perniagaan dalam Islam serta isu halal dan haram, media juga memberi peranan utama dalam menyebarkan maklumat yang berguna. Oleh itu stesesn televisyen kini telah banyak mewujudkan program televisyen yang berkaitan dengan isu agam sebagai contoh rancangan televisyen astro Oasis dan yang terbaru adalah rancangan televisyen Al-hijrah dimana didalamnya terdapat salah satu rancangan yang bertajuk Agen Halal yang mendedahkan mengenai isu halal dan haram.

-          Seminar Keusahawanan Islam: Di samping memberi galakan kepada umat Islam untuk menceburkan diri dalam perniagaan, oleh itu, seminar yang menrangkan tentang keusahawanan dalam islam adalah merupakan satu alternative dalam membimbing para usahawan islam berniaga berlandaskan syariat islam. Ini bertujuan supaya tidak berlakunya penipuan, ketidakadilan, penganiayaan dan sebagainya yang akhirnya akan membawa kepada keruntuhan ekonomi dan mengancam kesejahteraan masyarakat seluruhnya. Seharusnya etika perniagaan dalam islam hendaklah berlandaskan  dua sumber utama hukum Islam iaitu al-Quran dan hadis. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi s.a.w. bersabda:
Maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”. (Hadis Riwayat Malik – dipetik daripada Mohd Radzi &
Ghafarullahuddin, 2005 : 10).

2 comments:

  1. GOOD EVENING, MAY I ASK YOU WHAT REFERENCE DO YOU USED IN THIS ARTICLE?

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete