Friday, 19 July 2013

Bahagia itu ada dalam hatimu..ketenangan itu ada pada Allah.. :)


Kadang.., kita melihat seseorang dikelilingi sahabat-sahabat terasa alangkah bahagianya dia, tapi kita tak pernah tahu rupanya dia dahagakan kasih sayang keluarga...

Kadang, kita melihat pasangan suami isteri terasa alangkah indahnya boleh menikah awal-awal tanpa kita tahu mereka terkadang mencemburui kehidupan bujang yang boleh ada ruang privasi sendiri....

Kita melihat 'bahagia' pada orang lain sehin
ggakan kita lupa sebenarnya kita yang tidak nampak kebahagiaan dalam kehidupan sendiri. Kita asyik melihat orang sehingga terlupa melihat dan merenung diri sendiri.....

Ambil pen dan kertas, tulislah berapa banyak nikmat yang Allah beri pada kita. Automatik kita akan sedar betapa beruntungnya kita dan anda pasti rasa bahagia..,.. ^__^



La Tahzan...surely Allah with us.. (At-Taubah: 40 ) :)



* Jika seseorang hamba tidak lagi mudah menangis kerana takutkan kekuasaan Allah...maka menangislah akan ketidakmampuan itu,..

-Annis@sykin_NurIlmi-

Friday, 12 July 2013

Peranan & Sumbangan Malaysia dalam ASEAN

1.1 Objektif

Tugasan ini bertujuan untuk membincangkan peranan dan sumbangan Malaysia dalam persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang telah ditubuhkan pada 8 Ogos 1967. Malaysia telah memainkan peranan dan memberikan sumbangan yang besar dalam pertubuhan ASEAN antaranya dalam bidang politik, ekonomi, dan sosial dan secara tidak langsung dapat memastikan kestabilan politik dan kemakmuran di rantau Asia Tenggara.
Dalam tugasan ini, antara isu utama yang akan dibincangkan ialah, matlamat ASEAN ditubuhkan serta apakah peranan dan strategi yang dilakukan oleh Malaysia dalam meningkatkan bidang ekonomi dalam kalangan Negara-negara ASEAN. Secara khususnya. Malaysia telah banyak memainkan peranan dan sumbangan yang amat besar dalam meningkatkan ekonomi diantara Negara serantau disamping mengambil tentang perkembangan dan kebajikan hubungan serantaunya.
Didalam tugasan ini juga, turut dibincangkan  mengenai peristiwa yang menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan mana-mana Negara ASEAN. Terdapat beberapa peristiwa yang pernah mencalarkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan bebrapa Negara ASEAN antaranya ialah Filipina dan juga Vietnam. Walaubagaimanapun, setiap masalah ini sentiasa ditangani dengan sebaiknya demi mengkekalkan kelangsungan hubungan antara Negara-negara tersebut. Ikuti perbincangan mengenai isu-isu tersebut dan perkembangannya didalam tugasan ini.

 ************************************************************************


 2.1 Matlamat ASEAN ditubuhkan

ASEAN telah ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, apabila beberapa buah negara termasuk Malaysia menandatangani deklarasi penubuhan Asean di Bangkok. Pengisytiharan ini telah ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein, Menteri Luar Indonesia, Dr. Adam Malik, Menteri Luar Thai, Thanat Khoman, Setiausaha Luar Filipina, Narciso Ramos, dan Menteri Luar Singapura, S.Rajaratnam. Pada dasarnya, Asean mempunyai matlamat yang sama dengan ASA. Ia bertujuan untuk mewujudkan kerjasama yang lebih erat di kalangan Negara anggota dalam bidang ekonomi dan lain-lain. Namun peranan Asean telah berkembang lebih daripada itu. Hubungan diplomatik yang pada asalnya hanya melibatkan tiga buah Negara dalam ASA kini telah berkembang menjadi 10 buah Negara.

Negara Anggota ASEAN yang terlibat pada masa kini ialah Brunei Darussalam, Kerajaan Kemboja, Republik Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Laos, Malaysia, Kesatuan Myanmar, Republik Filipina, Republik Singapura, Kerajaan Thailand dan Republik Sosialis Viet Nam. Penubuhan Asean mempunyai lima peranan utama dan berikut adalah dua daripadanya:

Pertama
Penubuhan sebuah persatuan untuk kerjasama serantau dikalangan Negara Asia Tenggara. Pertubuhan ini dikenali sebagai Persatuan Negara Asia Tenggara- ASEAN.

Kedua
Diantara matlamat penubuhan Asean itu juga adalah untuk:
        i.            Mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan perkembangan kebudayaan di rantau ini. Ia dijayakan melalui usaha dan tindakan bersama dengan semangat persamaan dan perkongsian. Langkah-langkah ini sebagai usaha mengukuhkan asas untuk sebuah masyarakat yang aman, makmur di Negara-negara Asia Tenggara.

      ii.            Menggalakkan keamanan dan kestabilan serantau. Ini  hendaklah dilakukan berdasarkan hormat-menghormati sepenuhnya keadilan undang-undang di kalangan Negara rantau ini dan patuh kepada piagam pertubuhan bangsa-bangsa bersatu (PBB).


    iii.            Menggalakkan kerjasama yang akif dan saling membantu terhadap perkara-perkara kepentingan bersama dalam bidang ekonomi, sosial, kebudayaaan, teknikal,santifik  dan pentadbiran.

    iv.            Tolong-menolong antara satu sama lain dalam bentuk latihan dan kemudahan-kemudahan penyelidikan dalam bidang pelajaran professional, teknikal dan pentadbiran.


      v.            Bekerjasama yang lebih berkesan dalam penggunaan bidang pertanian dan industri. Meluaskan perdangangan termasuk kajian masalah perdagangan barangan antarabangsa, memperbaiki kemudahan-kemudahan pengangkutan  dan perhubungan dan meninggikan lagi taraf hidup rayat Negara-negara anggota.


    vi.            Untuk mengekalkan Asia Tenggara sebagai Zon Bebas Senjata Nuklear dan bebas daripada segala senjata pemusnah besar-besaran yang lain;

  vii.            Untuk mewujudkan suatu pasaran dan pangkalan pusat pengeluaran tunggal yang stabil, makmur, berdaya saing dan berintegrasi dari segi ekonomi dengan kemudahan berkesan bagi perdagangan dan pelaburan yang dalamnya wujud pengaliran bebas barangan, perkhidmatan dan pelaburan; memudahkan pergerakan ahli perniagaan, ahli profesional, bakat dan tenaga kerja; dan aliran modal yang lebih bebas;

viii.            Untuk memperkukuh demokrasi, meningkatkan tadbir urus yang baik dan rukun undang-undang, dan untuk menggalakkan dan melindungi hak asasi manusia dan kebebasan asasi dengan mengambil kira hak dan tanggungjawab Negara Anggota ASEAN;


    ix.            Untuk menggalakkan pembangunan yang lestari supaya dapat memastikan alam sekitar rantau ini dilindungi, kelestarian sumber aslinya, dilestarikan warisan budaya dan kualiti hidup penduduknya yang tinggi dipelihara;

      x.            Untuk membangunkan sumber manusia melalui kerjasama yang lebih erat dalam bidang pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat, dan dalam bidang sains dan teknologi, bagi memperkasakan rakyat ASEAN dan bagi memantapkan Komuniti.

    xi.            Untuk meningkatkan kesejahteraan dan kehidupan rakyat ASEAN dengan memberikan mereka peluang yang saksama bagi pembangunan modal insan, kebajikan sosial dan keadilan;

  xii.            Untuk memperkukuh kerjasama dalam membina persekitaran yang selamat, terjamin dan bebas daripada dadah untuk rakyat ASEAN;

xiii.            Untuk memajukan ASEAN yang berorientasikan rakyat yang dalamnya kesemua sektor masyarakat digalakkan untuk turut serta dalam, dan memperoleh manfaat daripada, proses integrasi dan pembangunan komuniti ASEAN;

xiv.            Untuk memajukan suatu identiti ASEAN melalui perangsangan kesedaran yang lebih besar terhadap kepelbagaian budaya dan warisan rantau ini;

  xv.            Untuk mengekalkan keutamaan dan peranan proaktif ASEAN sebagai daya penggerak utama dalam hubungan dan kerjasamanya dengan rakan kongsi luar dalam seni bina serantau yang terbuka, telus dan menyeluruh.



3.1 Peranan Dan Strategi Malaysia Dalam Membantu Meningkatkan Ekonomi Dikalangan Negara-Negara ASEAN.


3.1.1        Penubuhan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)

Malaysia kini telah mencapai reputasi yang baik sebagai hab operasi global dan serantau bagi perkilangan dan perkhidmatan dengan menarik pelaburan yang akan mempercepatkan peralihan negara kepada industri bernilai ditambah tinggi, berteknologi tinggi, berintensifkan pengetahuan serta berasaskan inovasi. Pendekatan ekosistem MIDA dalam pembangunan pelaburan memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan ini. Setelah empat dekad bagi menggalakkan dan menyelaras pembangunan perindustrian, Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) menerima nama baharu dan skop tanggungjawab yang lebih luas pada tahun 2011. Ekonomi, agensi ini telah dinamakan semula sebagai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan diberikan peranan utama dalam menerajui agenda pelaburan nasional untuk memacu matlamat Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Malaysia memecah kesemua rekod pelaburan dan pekerjaan pada tahun 2012, tetapi projek pelaburan berkualiti dan pekerjaan yang benar-benar menonjol. Pencapaian luar biasa telah dapat dicapai hasil daripada strategi baharu Kerajaan untuk menarik pelaburan berkualiti dalam sektor yang disasarkan. Perkongsian strategik dengan agensi-agensi pembangunan ekonomi negara telah menyokong usaha MIDA dalam meningkatkan profil Malaysia sebagai lokasi yang ideal bagi perniagaan bernilai ditambah tinggi. Antara pencapaian Malaysia sepanjang tahun 2012 hasil daripada pelaburan ini ialah:
• Menarik jumlah pelaburan langsung tertinggi yang pernah direkod: RM162.4 bilion
• Menjana 182,841 pekerjaan – melebihi daripada tahun-tahun sebelum ini
                     • Meningkatkan lanskap pelaburan domestik
• Melaksanakan kemajuan kukuh dalam pembangunan industri bagi teknologi baharu dan baharu muncul
• Memperkukuh ekosistem industri sedia ada seperti semikonduktor, diod pemancar cahaya (LED), solar dan jentera & kelengkapan (M&E)
• Memperkukuh reputasi Negara  sebagai hab global dan serantau bagi perkilangan dan perkhidmatan
• Mengimbangi pembangunan lima koridor ekonomi Negara

Secara tidak langsung, penubuhan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia ini telah banyak membantu dalam meningkatkan ekonomi dalam Negara-negara serantau ASEAN. Sesuatu yang amat memberangsangkan adalah aliran masuk pelaburan domestik meningkat dengan ketara sebanyak hampir empat kali ganda jumlah pelaburan langsung asing (FDI) pada tahun 2012. Ini merupakan satu petunjuk yang jelas akan keyakinan perniagaan tempatan dan Negara serantau terhadap keupayaan negara dalam memajukan para pelabur. Berikut adalah Graf 1 Aliran masuk FDI ke ASEAN, 2011(US$ bilion):




Dalam rantau membangun Asia Timur dan Asia Tenggara, aliran masuk FDI mencapai rekod baharu pada tahun 2012. Jumlah aliran masuk FDI bernilai US$336 bilion, yang merupakan 22 peratus daripada jumlah aliran masuk global. Asia Tenggara sahaja telah mencatatkan aliran masuk sebanyak US$117 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 26 peratus daripada tahun sebelumnya. Asia Timur mencatatkan aliran masuk sebanyak US$219 bilion, manakala Asia Tenggara tetap mengalami pertumbuhan FDI yang lebih cepat. Antara ekonomi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura semuanya mencapai peningkatan yang ketara dalam aliran masuk FDI. Malaysia merupakan penerima ketiga terbesar dalam aliran masuk FDI di antara Negara-negara ASEAN pada tahun 2011 selepas Singapura dan Indonesia.

Aliran masuk FDI ke Singapura mencatatkan pertumbuhan kukuh daripada US$48.6 bilion pada tahun 2010 kepada US$64 bilion pada tahun 2011, iaitu peningkatan sebanyak 31.7 peratus. Indonesia mengalami peningkatan sebanyak 37.9 peratus daripada US$13.7 bilion pada tahun 2010 kepada US$18.9 bilion pada tahun 2011. Pertumbuhan dalam negara-negara ASEAN telah didorong terutamanya oleh permintaan domestic dan pengembangan kukuh dalam aktiviti sector swasta. Berdasarkan trend aliran masuk FDI, aliran keluar FDI global juga meningkat sebanyak 17 peratus daripada US$1.45 trilion pada tahun 2010 kepada US$1.69 trilion pada tahun 2011. Tahap ini kekal di bawah paras tertinggi sebanyak US$2.2 trilion yang telah dicapai pada tahun 2007. Peningkatan ini adalah terutamanya oleh pertumbuhan aliran keluar FDI daripada negara-negara maju. Aliran keluar FDI daripada ekonomi maju berkembang sebanyak 25 peratus daripada US$0.99 trilion pada tahun 2010 kepada US$1.24 trilion pada tahun 2011, manakala FDI daripada ekonomi peralihan meningkat sebanyak 19 peratus.[1]

3.1.2        AUTOMOTIF (Industri kelengkapan Pengangkutan)

Ianya merangkumi subsektor automotif, aeroangkasa dan pembinaan kapal dan pembaikan kapal. Subsektor automotif adalah yang terbesar dalam industri ini yang meliputi pengilangan atau pemasangan kenderaan bermotor (termasuk motor beroda dua), pemulihan semula / pemasangan semula / pembinaan semula / pengubahan kenderaan bermotor dan pengilangan bahagian dan komponen, termasuk koc dan badan kenderaan.

Dalam menggalakkan usaha ke arah teknologi hijau, Dasar Automotif Nasional (NAP) 2010 telah menghasilkan peningkatan dalam pelaburan bagi pengeluaran kenderaan hibrid/ elektrik kepada RM792.4 juta pada tahun 2012. Ia juga telah peningkatkan pelaburan dalam pengilangan bahagian dan komponen yang kritikal dan bernilai ditambah tinggi kepada RM262 juta pada tahun 2012. Menuju kehadapan, NAP akan dikaji semula untuk terus menekankan kepada kenderaan cekap tenaga berteknologi tinggi (EEV). Fokus berkemungkinan akan  memberi tumpuan kepada meneruskan liberalisasi ke atas subsektor automotif bagi menggalakkan pelaburan di kalangan pengeluar komponen automotif berteknologi tinggi untuk bersaing dengan industri motor ASEAN dari segi pertumbuhan dan jumlah eksport.[2] Berikut adalah jadual kenderaan bermotor dalam ekonomi utama ASEAN:



3.1.4        Sumbangan dan bantuan ekonomi Malaysia kepada Negara-negara ASEAN atas dasar keperihatinan

-  Laporan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-11 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur


Malaysia komited kepada IAI (Inisiatif Integrasi ASEAN). Sejak 1981, bantuan teknikal yang diberikan kepada negara-negara CLMV (Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam) termasuk kursus-kursus latihan yang dikendalikan di bawah Pelan Kerja IAI keseluruhannya berjumlah lebih daripada RM38 juta atau AS$10 juta. Baru-baru ini Malaysia menyumbangkan sebanyak AS$1.53 juta (RM8.89 juta) kepada Pelan Kerja IAI bagi tahun 2003-2005.

Dalam sokongan seterusnya bagi IAI, Malaysia akan menyediakan geran tambahan sehingga AS$500,000 (RM1.9 juta) untuk menyokong Projek Sekolah Pintar bagi CLMV. Inisiatif ini menyediakan negara-negara berkenaan dengan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pakej program pembangunan sumber manusia. Dengan itu, komitmen Malaysia untuk 2006-2008 akan menjadi AS$2.62 juta (RM9.96 juta). Sebagai tambahan, Malaysia sedia untuk menimbangkan bantuan bentuk lain bagi menyokong usaha integrasi ASEAN.

Malaysia turut berkongsi keperihatinan global terhadap Avian Influenza. Berdasarkan pengalaman Malaysia dalam menangani kemunculan wabak penyakit baru seperti Nipah Encephalitis pada 1998-1999, SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) pada 2003 dan Avian Influenza (selesema burung) pada 2004, Malaysia menunjukkan keprihatinan dengan menubuhkan Pusat Kerjasama WHO Serantau bagi Influenza pada mesyuarat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai Avian Influenza di Geneva.

Negara-negara anggota telah menunjukkan sokongan untuk menubuhkan Pusat Kerjasama WHO Serantau ini di Malaysia sejak kewujudan beberapa pusat rujukan WHO bagi selesema manusia ditempatkan di luar rantau ASEAN.Sebagai tambahan, dengan kepakaran Institut Penyelidikan Haiwan dalam membuat diagnostik, Malaysia juga mencadangkan pembentukan Pusat Rujukan dan Penyelidikan Avian Influenza Serantau.Dengan kedua-dua sistem kawalan bagi haiwan dan manusia di sebuah negara, ia akan menjadi mekanisme amaran awal bagi pengawasan serangan selesema di rantau ini. Ia merupakan sumbangan Malaysia ke arah keselamatan kesihatan global.[3]

-          Bantuan kepada mangsa banjir

Pada 21 Disember 2011, Malaysia telah menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kepada empat Negara Asean (Myanmar, Laos, Kemboja dan Filipina) yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda wilayah itu dan masing-masing menerima US$100,000 (kira-kira RM316,000) daripada kerajaan Malaysia pada. Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menyampaikan cek bantuan itu bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, kepada Duta-Duta Kemboja, Myanmar, Laos dan Filipina.

Ketika berucap, Anifah berkata Malaysia berbangga kerana berada dalam budaya apabila setiap anggota Asean sentiasa saling menghulurkan bantuan pada masa yang diperlukan.

"Menjadi tanggungjawab sosial yang sangat penting bagi kerajaan Malaysia untuk menghulurkan pertolongan dan menawarkan bantuan lain kepada negara berjiran dalam Asean, mengikut kemampuan dan keupayaan kami" katanya.

Malaysia berharap sumbangan itu dapat membantu meringankan bebanan keempat-empat kerajaan berkenaan dalam usaha mereka untuk memulihkan dan membangunkan semula kawasan di wilayah yang terjejas teruk akibat banjir. Princess Samdech Reach Botrei Preah Anoch Norodom Arunsamy mewakili Kemboja, U Tin Lat mewakili Myamnar, Laos oleh Khamphan Anlavan dan Filipina pula oleh Jose Eduardo E. Malaya III.

Lebih 1,000 orang dalam wilayah terbabit terkorban dalam banjir yang melanda baru-baru ini, dengan yang terbaru di Filipina, manakala kerosakan jalan raya, sekolah, dan jambatan dijangka mencecah berbilion-bilion ringgit.[4]Dengan adanya sumbangan ini, sekurang-kurangnya dapat membantu Negara yang terlibat untuk memulihkan infrasruktur dan menghulurkan bantuan makanan serta keperluan kepada mangsa yang terlibat.



3.1.5        Globalisasi Ekonomi: Kebergantungan ekonomi Malaysia antara Negara serantau

Dalam sistem ekonomi global, tiada Negara yang mempunyai ekonomi yang lengkap. Setiap Negara perlu bergantung antara satu sama lain demi mewujudkan keadaan saling melengkapi agar ekonomi lebih pantas berkembang. Dengan itu, kekurangan dalam sesebuah Negara akan dapat ditampung oleh kelebihan Negara yang lain. Sebagaimana Malaysia, Negara kita juga memainkan peranan yang amat penting dalam membantu untuk membekalkan bahan mentah seperti kelapa sawit, petroleum dan juga pelbagai lagi sektor pertanian kepada Negara lain dan Asean khususnya. Walaubagaimanapun, kita juga masih memerlukan kelebihan tenaga daripada Negara lain khususnya dalam Negara serantau untuk menampung kekurangan di dalam Negara kita. Sebagai contoh:

-          Perkongsian buruh dan tenaga pakar
• Kekurangan buruh & tenaga pakar dalam sesebuah negara boleh ditampung oleh negara lain.Contohnya Malaysia bergantung kepada tenaga buruh dari Indonesia dalam sektor perladangan dan pembinaan.
• Kemasukan buruh Indonesia membolehkan sektor pembinaan berkembang dengan pesat manakala Indonesia memperolehi keuntungan melalui pengaliran masuk mata wang Ringgit hasil gaji/upah warganya yang bekerja dalam sektor tersebut di Malaysia.
• Selain itu perkongsian pakar juga berlaku dgn meminjam tenaga pakar dari negara maju. Keuntungan di perolehi melalui latihan dan R&D.

-          Kajian kes: Ciri saling bergantung antara Malaysia dengan negara lain.

• Malaysia amat bergantung kepada sumber bahan mentah, sumber kuasa dan sumber makanan dari negara-negara lain. Contohnya, Malaysia bergantung kepada Thailand untuk mendapatkan bekalan beras, sumber perikanan, sayur-sayuran, buah-buahan.
• Bergantung kepada Filipina untuk bekalan gula, Indonesia untuk bekalan beras.
• Teknologi moden dari negara maju seperi Jepun, Korea, USA, Rusia dan lain-lain untuk sektor perindustrian. Malaysia pula membekalkan minyak sawit dan getah asli.
• Malaysia bergantung kepada pasaran luar negara seperti AFTA, USA, Eropah, Asia Pasifik dan lain-lain. Contohnya, produk alat penghawa dingin Malaysia amat bergantung kepada pasaran negara Timur Tengah.
• Pelaburan modal asing juga di perlukan oleh Malaysia untuk menggerak dan memajukan sektor ekonomi seperti perindustrian, perkhidmatan, pelancongan dan lain-lain.
• Tanpa modal asing Malaysia tidak mempunyai modal yang mencukupi untuk menggerak, menjana dan memperkasakan ekonominya.
• Negara maju yang banyak melabur di Malaysia ialah seperti negara Jepun, Korea, USA, England, Jerman dan lain-lain disamping pelaburan dari negara serantau Asean seperti Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Filipina.

Secara  tidak langsung, proses saling bergantung diantara Negara Malaysia dan juga Negara serantau khususnya telah mewujudkan satu jalinan ekonomi yang mampu untuk mencorakkan dan meningkatkan taraf ekonomi antara Negara terlibat. Setiap kelebihan  yang dimiliki oleh mana-mana Negara adalah merupakan satu aset yang dapat membantu untuk menutup kelompangan yang terdapat pada Negara lain. Jalinan ekonomi ini membuka ruang dan peluang kepada Negara-negara serantau untuk meningkatkan dan meperluaskan pasaran ekonomi masing-masing sebagai contoh, Malaysia memerlukan tenaga buruh dari Indonesia dalam sektor pertanian dan pembangunan dan bahan mentah seperti beras. Secara tidak langsung ianya telah membuka ruang kepada rakyat dan  pengusaha di Indonesia untuk mencari peluang pekerjaan di Malaysia serta memberi ruang kepada para pengusaha untuk memasarkan produk mereka di Malaysia.

Ianya sejajar dengan matlamat penubuhan asean itu sendiri iaitu, bekerjasama yang lebih berkesan dalam penggunaan bidang pertanian dan industri. Meluaskan perdangangan termasuk kajian masalah perdagangan barangan antarabangsa, memperbaiki kemudahan-kemudahan pengangkutan  dan perhubungan dan meninggikan lagi taraf hidup rayat Negara-negara anggota.

***************************************************************************


4.1 Peristiwa yang menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan mana-mana Negara Asean.

4.1.1        Tuntutan Filipina ke atas Sabah

Ketika awal penubuhan Asean, hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Filipina  kurang baik disebabkan tuntutan Filipina terhadap sabah. Filipina  tidak mahu menggugurkan tuntutannya ke atas sabah lebih-lebih lagi dalam tahun berikutnya iaitu pada tahun 1968. Pada tahun itu, Filipina telah melancarkan kegiatan pengkhianatan terhadap Malaysia. Filipina telah menghantar orang-orang yang dilatih khas menyusup masuk ke Sabah. Mereka ditugaskan untuk melakukan pengkhianatan terhadap wilayah Malaysia itu. Boleh dikatakan, sepanjang tahun 1968 itu, hubungan diantara Malaysia- Filipina adalah seperti “ ranjau di dalam daging”.  Walaubagaimanapun, Malaysia meneruskan usaha damainya dengan Filipina dan tidak berputus asa untuk mencari jalan penyelesaian. Rundingan demi rundingan telah beberapa kali diadakan di Bangkok namun semuanya gagal dan menemui jalan buntu. Malahan Filipina telah meletakkan satu undang-undang dengan memasukkan Sabah sebahagian daripada wilayahnya. Undang-undang ini telah dibuat melalui satu Akta Perampasan Sabah dan tindakan tersebut telah menyebabkan terputusnya semula hubungan dilomatik antara kedua-dua buah Negara.

- Tuntutan berlarutan
Akibat daripada persengketaan itu, kegiatan ASEAN telah terhenti buat seketika. Sungguhpun Malaysia telah menyambung kembali hubungan diplomatiknya dengan Filipina beberapa tahun kemudian, namun tuntutan Filipina tehadap sabah masih tidak digugurkan. Tuntutannya berlarutan hingga tahun 1991. Pada Ogos 1977, Presiden Marcos iaitu presiden kepada Filipina telah berikrar akan mengugurkan tuntutan  itu ketika Sidang Ketua Kerajaan ASEAN di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, ikrar itu tidak dikotakannya. Tuntutan Filipina itu merupakan “duri dalam daging” hubungan Malaysia- Filipina malahan dalam hubungan Negara-negara Asean seluruhnya.[5]



Kemasukan pelarian Vietnam ke Malaysia

Pada tahun 1978, Malaysia telah dikejutkan dengan kemasukan pelarian daripada Vietnam. Kemasukan pelarian Vietnam ini membimbangkan kerajaan kerana kemungkinan ada dikalangan pelarian ini yang terdiri daripada komunis. Kerajaan khuatir sekiranya mereka menjalankan kegiatan yang subversif apabila mereka mendarat di Negara ini. Kemungkinan besar juga berlaku kegiatan-kegiatan penyeludupan senjata api ke Negara ini. Inilah yang membimbangkan pihak berkuasa.

Walaubagaimanapun, sejak tahun 1978 lagi, Negara kita telah mengambil pendirian tegas dalam hal ini walaupun amat mengambil berat tentang kebajikan dan berperikemanusiaan dalam menangani isu pelarian ini. Ini berikutan dengan ketibaan kapal kargo Hai Hong di pelabuhan klang. Kejadian ini berlaku dalam bulan November tahun tersebut. Apa yang menjadi isu ialah muatan kargo yang sepatutnya diisi dengan barang telah diisikan dengan sekumpulan manusia yang merupakan rakyat yang tidak diingini oleh Vietnam. Mereka juga tidak mahu tinggal di bawah pemerintahan komunis Negara mereka.

Sebelum peristiwa ketibaan kapal Hai Hong ini, iaitu pada tahun 1977, Malaysia telah menyatakan hasrat untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Vietnam supaya kedua-dua Negara dapat memupuk persahabatan. Dengan adanya hubungan persahabatan yang baik, Kuala Lumpur akan menjadi ‘pendorong’ kepada hubungan baik dengna Negara-negara Asean yang lainnya. Bagaimanapun, niat baik kita untuk membantu Vietnam telah dibalas dengan perbuatan yang menghampakan kita. Negara itu telah mengambil kesempatan dengan niat baik Malaysia dengan mengeskportkan rakyatnya yang menentang pemerintahan komunis.

Dato’ Tun Hussein Onn telah memberikan amaran keras kepada Vietnam dan Malaysia tidak teragak-agak memutuskan hubungan diplomatik jika Negara itu terus mengancam keselamatan Negara kita. Walaubagaimanapun, amaran itu tidak diendahkan oleh Vietnam dan Malaysia terpaksa menarik balik semua bantuannya terhadap Vietnam. Hubungan Malaysia dan Vietnam bertambah tegang namun Malaysia tidak memutuskan hubungan dengan Negara itu demi untuk mengekalkan saluran hubungan. Ini kerana Negara kita masih menaruh keyakinan ia akan menjadi saluran bagi menyelesaikan masalah berbagai-bagai masalah terutamanya masalah yang berbangkit dari sengketa Kampuchea.[6]



Rumusan


Sebagai konklusinya, antara matlamat penubuhan ASEAN itu sendiri itu adalah untuk membina kerjasama serantau dikalangan Negara Asia Tenggara dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan perkembangan kebudayaan di rantau ini. Ia dijayakan melalui usaha dan tindakan bersama dengan semangat persamaan dan perkongsian. Langkah-langkah ini sebagai usaha mengukuhkan asas untuk sebuah masyarakat yang aman, makmur di Negara-negara Asia Tenggara.


Secara tidak langsungnya, Malaysia telah memainkan banyak peranan  dan sumbangan yang telah mewujudkan strategi  efektif dalam melakar dan meningkatkan corak ekonomi yang berkembang dengan pesat serta penuh inovatif. Usaha Malaysia yang pelbagai dalam mengembangkan taraf ekonomi telah memberi galakan dan peluang kepada Negara serantau untuk turut sama dalam menaik taraf ekonomi Negara masing-masing. Hakikatnya, Malaysia adalah sebuah Negara yang amat mengambil berat mengenai perkembangan dan kebajikan Negara serantaunya dan cukup perihatin dalam menghulurkan bantuan dan sumbangan disaat memerlukan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa peristiwa yang pernah mencalarkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan beberapa Negara ASEAN sebagaimana yang telah dibincangkan didalam tugasan ini. Pun begitu, setiap permasalahan yang  timbul, Malaysia sentiasa berusaha untuk mencari jalan penyelasaiannya demi mengekalkan kelansungan hubungan antara Negara ASEAN dan demi mewujudkan kerjasama dan keamanan sejagat.